Kabinet sekarang adalah ‘kerajaan sementara’, kata KSN

Kabinet sekarang adalah ‘kerajaan sementara’, kata KSN

Ali Hamsa berkata, kerajaan sementara boleh membuat tindakan bagi menjalankan urusan pentadbiran kerajaan sehingga kerajaan baru dibentuk.

Free Malaysia Today
Ali Hamsa berkata, kerajaan sementara boleh meneruskan pelaksanaan dasar sedia ada dan mengadakan majlis rasmi kerajaan. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Jemaah menteri sedia ada merupakan ‘kerajaan sementara” bermula dari masa pembubaran Parlimen sehingga jemaah menteri baru dilantik selepas pilihan raya umum atau Parlimen bersidang semula selepas pilihan raya umum mengikut mana yang lebih awal.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dalam kenyataan hari ini berkata, kerajaan sementara boleh membuat tindakan bagi maksud menjalankan urusan pentadbiran kerajaan sehingga suatu kerajaan baru dibentuk.

“Antara contoh perkara pentadbiran tersebut ialah seperti meneruskan pelaksanaan dasar sedia ada dan mengadakan majlis rasmi kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ali berkata, konsep kerajaan sementara adalah suatu konvensyen perlembagaan yang turut diamalkan di negara Komanwel seperti United Kingdom dan Australia yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.

Ali merujuk kepada satu kes mahkamah berkata, Mahkamah Persekutuan turut mengiktiraf bahawa Jemaah Menteri hendaklah ada pada setiap masa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong walaupun selepas Parlimen dibubarkan selaras dengan peruntukan Perkara 43(1) Perlembagaan Persekutuan.

Ali turut menjelaskan bahawa perlembagaan persekutuan Perkara 40 menyatakan bahawa Yang Di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Jemaah Menteri atau Menteri yang diberikan kuasa am oleh Jemaah Menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.