
ICJ dalam kenyataan media di laman sesawangnya semalam berkata, Malaysia akan memulakan pusingan pertama hujah lisan pada 3 hingga 6 petang 18 Jun, manakala giliran Singapura pada waktu sama 19 Jun.
Pusingan ke-2 hujah lisan Malaysia akan diadakan pada 10 hingga 11.30 pagi 21 Jun dan Singapura pada 3 hingga 4.30 petang 22 Jun.
Pada 2 Februari 2017, Malaysia memfailkan semakan keputusan ICJ berhubung Pulau Batu Puteh dan memetik United Kingdom mengubah status 3 dokumen untuk menyokong permohonan itu baru-baru ini.
Dokumen berkenaan ialah surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan satu kejadian difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan satu peta berserta catatan operasi tentera laut dari 1960-an.
Dokumen itu yang tidak diketahui ICJ mahupun Malaysia ketika penghakiman pada 2008, ditemui di National Archives of United Kingdom antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari 2017.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, manakala Malaysia memiliki Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge) pula menjadi milik negara di perairan di mana pulau itu terletak.
Pulau Batu Puteh terletak 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh, Johor.
Pada 16 Februari 2017, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata beliau akan mengetuai sekumpulan pakar undang-undang antarabangsa dan tempatan berhubung pendengaran tersebut.
Pedra Branca: Malaysia fail permohonan interpretasi penghakiman ICJ