Guan Eng: Logo roket ‘direhatkan’ pada PRU14

Guan Eng: Logo roket ‘direhatkan’ pada PRU14

Ketua menteri Pulau Pinang berkata, penggunaan satu logo sama akan membantu calon PPBM susulan pembubaran sementara parti itu semalam.

Free Malaysia Today
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata logo roket DAP tidak akan digunakan dalam usaha membantu Pakatan Harapan menawan Putrajaya.
GEORGE TOWN:
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini berkata keputusan parti itu “merehatkan” simbol roketnya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) supaya pengundi boleh membuat keputusan jelas.

Katanya, langkah itu satu pengorbanan buat DAP bagi mencapai matlamat lebih besar untuk menawan Putrajaya.

“Ya, buat pertama kali, kami akan merehatkan roket supaya orang ramai mempunyai keputusan jelas semasa mengundi,” kata Lim di luar satu acara di Tanjung Bungah hari ini.

Ditanya jika simbol PKR akan digunakan semua calon PKR, DAP, Amanah dan PPBM, Lim berkata, keputusan gabungan itu akan diumumkan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Katanya, penggunaan satu logo sama itu akan membantu calon PPBM, selepas parti itu dibubarkan sementara oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) semalam atas dakwaan melanggar peraturan persekutuan.

“Dalam sejarah, tidak pernah ada calon perdana menteri yang dilarang bertanding menerusi partinya atas alasan munasabah,” kata Lim.

Sementara itu, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memberi bayangan logo PKR mungkin digunakan calon DAP.

Katanya, penggunaan logo parti pembangkang lain tidak bermakna calon itu tidak setia kepada partinya.

“Jika kita menggunakan logo PKR, contohnya, itu tidak bermakna kita menyertai PKR. Kita hanya berbuat demikian untuk tujuan pilihan raya. Kita masih calon DAP yang menggunakan logo sama di bawah PH.

“Jika kita menggunakan logo mata biru PKR, ia tidak melanggar undang-undang anti-lompat parti negeri kerana calon bukannya menukar parti.

“Kita tidak menggunakan logo kita, tetapi menggunakan logo yang dipersetujui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).”

Semalam, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata logo itu akan didedahkan di ceramah Pasir Gudang, Johor, malam ini.

“Kami sudah beritahu sebelum ini kami akan gunakan satu logo. Kami bersatu, kami Pakatan Harapan. Tiada apa yang boleh memecah belahkan kami,” katanya selepas mesyuarat Majlis Presiden PH.

Dr Mahathir berkata, PH ada rancangan kontingensi untuk menghadapi masalah daripada kegagalan mendaftarkan PH sebagai sebuah gabungan disebabkan kemungkinan PPBM dibubarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.