Salleh: PH mungkin pilih lambang PKR untuk perdaya Melayu

Salleh: PH mungkin pilih lambang PKR untuk perdaya Melayu

Menteri Salleh Said Keruak percaya PH akan memilih lambang PKR bagi memberi gambaran gabungan itu sudah menjadi 'lebih Melayu'.

PETALING JAYA:
Pakatan Harapan mungkin memilih lambang PKR untuk memberikan gambaran seolah-olah gabungan itu sudah menjadi “lebih Melayu”, kata Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Menteri komunikasi dan multimedia berpendapat PH akan membuat pilihan itu selepas menyedari calon perdana menteri mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan partinya, PPBM, tidak dapat mencetuskan Tsunami Melayu.

Salleh berkata demikian berdasarkan kepada kenyataan pemimpin PKR sendiri, Rafizi Ramli, berdasarkan kajian badan kaji selidik, Invoke Malaysia, dan oleh itu, PH perlu mencari cara lain untuk meyakinkan orang Melayu mengundi mereka.

“PH lebih kurang sudah pun memaksimumkan asas sokongan Cina dan jika mereka mahu menang lebih daripada 80 kerusi parlimen tanpa bantuan PAS, maka ia harus berlatarbelakangkan ‘Tsunami Melayu’. Tanpa ‘Tsunami Melayu’ ini, pencapaian PH mungkin lebih buruk daripada pada pilihan raya umum 2013, apatah lagi memenangi 120 kerusi Parlimen yang mereka sasarkan.

“Sebab itulah PH mungkin menggunakan lambang PKR sebagai lambang PH. DAP berkata ia tidak menggunakan lambang sendiri manakala lambang Amanah mungkin menyebabkan pengundi Cina menjauhkan diri kerana imej Islam.

“Penggunaan lambang PKR sebagai lambang bersama adalah strategi mereka untuk memperdayakan orang Melayu untuk mempercayai bahawa PH menjadi lebih Melayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli menafikan spekulasi mengatakan Dr Mahathir dan PPBM akan mencetuskan gelombang sokongan orang Melayu yang akan memenangkan PH pada pilihan raya umum ke-14.

Rafizi berkata data yang dikumpulkan hasil penyelidikannya tidak menyokong spekulasi itu.

“Saya beritahu perkara ini setiap hari kepada Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin parti mereka dan mereka menerimanya,” katanya.

“Mereka tahu data ini membantu kami merancang taktik dan strategi terbaik di kerusi terbaik,” tambahnya.

Terdahulu, Dr Mahathir mengumumkan gabungan pembangkang itu akan menggunakan logo bersama pada PRU14, dan logo terpilih akan diumumkan esok di Johor.

Calon perdana menteri itu berkata pemilihan logo salah satu parti komponen itu sebahagian daripada rancangan luar jangka sekiranya mereka gagal mendaftarkan PH sebagai satu gabungan rasmi.

Spekulasi kuat mengatakan gabungan itu akan menggunakan lambang PKR.

Esok juga akan diketahui sama ada lambang terpilih itu terhad untuk kegunaan di Tanah Melayu sahaja atau di seluruh Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.