Pembubaran sementara PPBM: SPR belum terima makluman rasmi

Pembubaran sementara PPBM: SPR belum terima makluman rasmi

Pengerusi SPR berkata tidak wajar SPR mengulas perkara itu lebih lanjut memandangkan terdapat kes melibatkan isu itu di mahkamah.

PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menerima apa-apa pemakluman rasmi daripada mana-mana pihak berkepentingan berhubung perintah pembubaran sementara terhadap PPBM oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata tidak wajar SPR mengulas perkara itu lebih lanjut memandangkan terdapat kes melibatkan isu itu di mahkamah.

“Berhubung keputusan JPPM membubarkan sementara PPBM hari ini, SPR menjelaskan urusan pendaftaran, penggantungan dan pembubaran parti politik yang berdaftar adalah dalam bidang kuasa JPPM.

“Oleh itu SPR tidak dapat memberi sebarang komen hanya berdasarkan laporan akhbar kerana belum menerima apa-apa pemakluman rasmi daripada mana-mana pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

JPPM hari ini mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap PPBM, memberikan parti itu tempoh 30 hari melengkapkan butiran yang diperlukan atau berdepan pembubaran.

Ketua Pengarah JPPM Surayati Ibrahim dipetik berkata perintah itu dikeluarkan mengikut Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966.

Katanya PPBM tidak dibenarkan menggunakan nama, logo dan melaksanakan aktiviti berkaitan parti dalam tempoh 30 hari pembubaran sementara itu.

Surayati berkata pembubaran sementara itu dikeluarkan susulan kegagalan PPBM menyerahkan dengan sepenuhnya segala butir maklumat dan dokumen yang diminta menerusi notis statutori bawah Seksyen 14 (2) yang dikeluarkan kepada parti itu pada 28 Februari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.