Laporan: Jumlah rakyat amat kaya naik 11%

Laporan: Jumlah rakyat amat kaya naik 11%

Rakyat Malaysia amat kaya ini utamakan aset kurang berisiko, seperti membuat pelaburan dalam sektor hartanah.

KUALA LUMPUR: Jumlah rakyat Malaysia amat kaya naik sebanyak 11% kepada 310 orang pada tahun lepas, berbanding 280 orang pada 2016, daripada 31.19 juta penduduk, menurut Laporan Kekayaan 2018 Knight Frank.

Individu amat kaya ini mereka yang memiliki aset bersih sebanyak lebih kurang US$50 juta (RM193.35 juta).

Edisi ke-12 laporan yang dikeluarkan hari ini oleh perunding hartanah global itu turut meramalkan penduduk yang amat kaya di Malaysia akan melonjak sebanyak 65% kepada 510 orang dalam tempoh 2017 hingga 2022.

Ketua Penyelidikan Knight Frank Asia Pasifik, Nicholas Holt, berkata pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar US sebanyak 15% tahun lepas menjadi penyumbang utama kepada peningkatan penduduk amat kaya di negara ini.

“Pertambahan ini dibantu peningkatan dalam prestasi sektor e-dagang dan perkilangan, bersama-sama dengan sektor baharu seperti teknologi kewangan yang mencipta kekayaan baru dalam negara ini, menyumbang kepada pertumbuhan sebanyak 11%,” katanya.

Holt berkata demikian ketika memberi taklimat sempena pelancaran Laporan Kekayaan 2018 hari ini.

Penerbitan tahunan itu menjejaki pertumbuhan penduduk amat kaya dunia bersama-sama analisis mendalam ke atas 52 buah negara.

Katanya, individu amat kaya dunia bertambah sebanyak 10% (11,630 individu) kepada 129,730 orang pada tahun lepas, dengan Asia mengatasi Eropah sebagai hab utama bagi orang sangat kaya.

Di negara ini pula, menurut laporan itu, golongan rakyat Malaysia yang amat kaya ini mengutamakan aset kurang berisiko, dengan 44% daripada mereka membuat pelaburan dalam sektor hartanah tahun lepas, di atas purata global sebanyak 39% pada 2017.

Sejumlah 33% rakyat Malaysia yang kaya suka melabur dalam emas berbanding purata global sebanyak 25%.

Bagaimanapun, 21% daripada responden Malaysia berkata mereka merancang untuk menambah pelaburan mereka dalam mata wang kripto, ini seiring dengan purata global sebanyak 21%.

Mengulas mengenai perkara ini, Holt berkata, selera pelaburan rakyat Malaysia bertambah seiring dengan trend global.

“Mereka memperuntukkan sebahagian pelaburan ke dalam aset ‘lebih selamat’ seperti hartanah dan emas. Pada masa sama, mereka akan mengenepikan sedikit ke dalam mata wang kripto yang sedang meningkat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Knight Frank Malaysia Sarkunan Subramaniam dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, berkata beliau menjangkakan selepas pilihan raya, pelabur akan menerima lebih banyak risiko memandangkan lanskap politik akan membawa dasar dan kitaran ekonomi baru.

“Pelabur mungkin akan melihat secara serius ke dalam peluang hartanah merangkumi kediaman dan komersil sama ada di dalam negara atau antarabangsa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.