
Menteri pelancongan dan kebudayaan itu merujuk kepada kejadian pemimpin Umno itu diuji positif dadah di sebuah kelab di Kuala Lumpur Isnin lepas.
“Dia tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, jadi berilah peluang kepadanya. Dia belum pun didakwa.
“Jangan terlalu cepat menghukum. Tiada orang suka dihukum jadi beri peluang kepada dia untuk memberi penjelasan,” kata Nazri pada sidang media selepas melancarkan Pelancongan Pintar Malaysia 4.0.
Beliau menyeru semua pihak membiarkan polis selesaikan siasatan sebelum membuat sebarang komen atau tuduhan.
Susulan kejadian itu, kumpulan akar umbi Umno mendesak Rizalman meletakkan jawatan parti dan kedudukannya dalam kerajaan.
Beliau juga merupakan pengarah bebas bukan eksekutif di Amanahraya Berhad, sebuah syarikat kerajaan.
Ditanya tentang dakwaan Rizalman terperangkap dalam tindakan sabotaj dalaman Umno, Nazri berkata “tiada apa yang mustahil”.
Rizalman ditangkap dalam satu serbuan bersama polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kelab De Vegas di Jalan Imbi sekitar 2.00 pagi pada Isnin.
Rizalman nafi mengambil dadah dan mempertikaikan keputusan ujian air kencing itu.
Beliau mendakwa dia hanya mengambil kopi bersama kawan-kawannya semasa berkaraoke dan tiada minuman beralkohol dihidangkan.