
Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Mah Weng Kwai yang mempengerusikan siasatan awam kehilangan Amri berkata, satu notis menunjukkan hutang Amri dibayar sehari selepas beliau hilang pada 24 November 2016, tetapi status muflisnya belum ditarik balik.
“Secara teknikalnya, dia masih lagi muflis kerana tidak membuat permohonan (kepada mahkamah) untuk ditarik balik (status muflis) disebabkan beliau tidak boleh kerana beliau hilang,” katanya pada hari ke-6 siasatan awam kehilangan Amri.
Pegawai penyiasat kes Amri, Inspektor Khor Yi Shuen berkata hasil semakan dengan Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM) pada Januari lalu mendapati Amri masih berstatus muflis.
“Itu adalah status yang kami jumpa. Itu adalah jawapan yang kami mahukan.
“Tidak perlu semak statusnya selepas saya semak pada Januari.”
Khor berkata, beliau pertama kali tahu mengenai status muflis Amri daripada isterinya, Norhayati Ariffin.
Beliau yang percaya Amri mempunyai masalah kewangan berkata, beliau tidak menyemak dengan JIM selepas semakan pertama Januari lalu.
Dalam inkuiri Suhakam pada 25 Januari lalu, Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R Munusamy yang berperanan sebagai pemerhati polis dalam inkuiri ini berkata, Amri diisytiharkan muflis pada 18 Mac 2008.
Amri, 44, hilang sejak 24 November 2016 dan menjadi subjek siasatan awam Suhakam, di samping 2 lagi yang hilang secara misteri.
Sebelum ini, Norhayati dilaporkan berkata, saksi ternampak 5 kenderaan menghalang kenderaan suaminya sebelum dibawa pergi, kira-kira 550m dari rumah mereka ke Bukit Chabang, Perlis.