Amanah: Jualan murah bukti BN Johor tak setuju cara Najib urus ekonomi

Amanah: Jualan murah bukti BN Johor tak setuju cara Najib urus ekonomi

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata tindakan BN Johor mengadakan jualan barang harian pada harga 30% lebih rendah daripada pasaran secara tidak langsung melawan 'bos' sendiri.

PETALING JAYA:
Amanah berkata, kekerapan Barisan Nasional (BN) Johor mengadakan jualan barang harian di negeri itu secara tidak langsung menunjukkan mereka tidak bersetuju dengan pengurusan ekonomi di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mempersoalkan keperluan BN mengadakan program itu dan tidak menurunkan harga barang memandangkan parti itu mempunyai kuasa di peringkat pusat dan negeri untuk berbuat demikian.

“Tindakan mereka sebenarnya secara tidak langsung melawan ‘bos’ mereka sendiri dan seolah mahu memberi mesej Umno-BN Johor tidak bersetuju dengan pengurusan ekonomi di bawah Najib menyebabkan kos sara hidup rakyat meningkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Salahuddin merujuk program anjuran ahli Parlimen Tanjung Piai dan Wanita Umno kawasan itu yang menjual barang keperluan harian pada harga 30% lebih rendah daripada pasaran.

“Saya cukup hairan apabila Umno-BN Johor cukup berbangga dengan ribuan rakyat yang hadir untuk mendapatkan barangan harian seperti tepung, beras, gula, minyak dan makanan lain yang mana lebih murah daripada harga pasaran. Saya kebingungan siapa sebenarnya kerajaan dan siapa pula pembangkang?”

Katanya, Pakatan Harapan sudah lama mengadakan jualan murah menggunakan dana sendiri untuk membela kebajikan rakyat Johor.

Beliau mendakwa sejak Najib menjadi perdana menteri, pelbagai dasar rasionalisasi subsidi dilaksanakan menyebabkan subsidi bagi beberapa barang keperluan ditarik balik.

Katanya, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menambahkan lagi beban rakyat.

Oleh itu, beliau menasihatkan rakyat Johor supaya membuat keputusan tepat pada pilihan raya umum ke-14 nanti demi masa depan lebih baik kerana Malaysia hari ini tidak lagi dipimpin mereka yang berjiwa rakyat.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kenaikan harga barangan bukan disebabkan pelaksanaan GST, tetapi berpunca daripada orang tengah atau “kartel” memanipulasi harga bagi memperoleh keuntungan berlebihan.

Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara itu berkata, kajian majlis tersebut mendapati perbuatan orang tengah memanipulasi harga barangan menyebabkan rakyat terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.

Zahid: Kartel punca harga naik, bukan GST

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.