Parlimen mungkin dibubar Jumaat ini, kata Nazri

Parlimen mungkin dibubar Jumaat ini, kata Nazri

Menteri pelancongan dan kebudayaan itu berkata, sidang Dewan Rakyat akan berakhir Khamis ini dan mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini mungkin ialah mesyuarat terakhir untuk kerajaan penggal ini.

PETALING JAYA:
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz menjangkakan Parlimen akan dibubarkan selepas mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini.

Beliau dipetik China Press ketika menghadiri festival kebudayaan di Padang Rengas semalam berkata, mesyuarat Kabinet yang sepatutnya diadakan pada Rabu ini ditunda ke Jumaat bagi memberi laluan kepada perhimpunan penjawat awam dari seluruh negara.

Katanya, sidang Dewan Rakyat akan berakhir Khamis ini dan mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini mungkin ialah mesyuarat terakhir untuk kerajaan penggal ini.

Nazri menjangkakan perdana menteri akan mengumumkan pembubaran Parlimen selepas mesyuarat Kabinet Jumaat ini, memandangkan laporan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya sudah diwartakan minggu lalu.

Laporan itu diwartakan 29 Mac lalu, sehari selepas diluluskan Dewan Rakyat dengan sokongan 129 ahli Parlimen dan 80 lagi menolak usul itu.

Semalam, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dilaporkan berkata, Dewan Rakyat mungkin dibubarkan sebelum perdana menteri melancarkan manifesto BN menjelang akhir minggu ini.

Menteri di jabatan perdana menteri itu berkata, manifesto itu dijadual dilancarkan minggu depan, manakala hari terakhir persidangan Dewan Rakyat ialah 5 April.

Rahman: Parlimen mungkin bubar sebelum lancar manifesto BN minggu depan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.