
Timbalan Ketua Wanita Umno Sabah itu berkata walaupun dilahirkan di Tawau, dia lebih dikenali di Karambunai, dan sudah 3 penggal berkhidmat di situ.
“Masyarakat di Tawau tidak mengenali saya,” katanya kepada pemberita hari ini. “Lagipun, mereka sudah ada pemimpin-pemimpin yang berkebolehan.”
Namun, Jainab, yang juga menteri pembangunan masyarakat dan hal ehwal pengguna Sabah, berkata keputusan muktamad terletak di tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.
“PM dan KM tahu siapa calon boleh menang. Tentu sekali, mereka mesti adaka perbincangan mengenai calon terlebih dahulu, jadi saya tidak mahu ganggu mereka,” katanya.
Jainab menepis spekulasi tentang perpindahan itu, mengatakan semua itu “cuma cakap-cakap”.
“Bukan kerana saya tak mahu bertanding di Tawau. Tetapi logiknya ialah jika saya mahu bertanding di Tawau, saya akan dipilih untuk menjadi calon di situ semasa saya pertama kali bertanding pilihan raya,” katanya, merujuk kepada pilihan raya 2004.
Jainab berkata dia banyak menyumbang kepada pembangunan Karambunai, dan berkata “buktinya boleh dilihat oleh semua orang, termasuk kepimpinan Barisan Nasional”.
Ditanya sama ada dia calon boleh menang di Karambunai berbanding di Tawau, dia berkata: “Bukan saya yang boleh kata saya calon boleh menang, itu pada kepimpinan.”
Karambunai, bersama-sama DUN Inanam yang sekarang dipegang wakil rakyat PKR Roland Chia, terletak di bawah Parlimen Sepanggar.
Pada 2013, Jainab menang dengan majoriti 8,532 undi menewaskan pencabarnya dari PKR, meraih sekali ganda daripada majoriti yang diperoleh pada pilihan raya sebelum itu.