
Lim berkata selain Parlimen Kepala Batas dan Parlimen Balik Pulau, yang menyaksikan perubahan dari segi lokasi tetapi tidak melibatkan pengundi, tiada persempadanan untuk Pulau Pinang.
“Mengapa tiada persempadanan untuk Pulau Pinang? Mengapa Pulau Pinang tidak dikenakan persempadanan wajib oleh SPR?
“SPR diberi mandat untuk menjalankan persempadanan tetapi gagal. Ia gagal menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya.
“Sebab itu kita bantah, kerana persempadanan mesti dibuat tetapi SPR tidak menjalankan tugasnya. Ini salah. Ini yang kita pertikaikan sekarang ini,” katanya pada sidang media hari ini.
Lim turut mempertikaikan kerusi DUN Air Putih dan Paya Terubong yang mempunyai bilangan pengundi yang tidak seimbang. Kedua-dua itu dipegang DAP, melalui Lim di Air Putih dan Yeoh Soon Hin di Paya Terubong.
Lim berkata kawasannya mempunyai 12,752 pengundi berdaftar tetapi Paya Terubong 41,707 pengundi.
“Ini menunjukkan 1 undi di Air Putih bersamaan 3 undi di Paya Terubong. Ini bertentangan dengan prinsip dan konsep demokrasi iaitu 1 orang, 1 undi, 1 nilai. Ketidakseimbangan itu tidak berperlembagaan.
“Walaupun kedua-dua kerusi dimenangi DAP, ia masih tidak adil,” katanya.
Lim sempat membidas Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong tentang persempadanan semula.
Lim berkata mereka membantah persempadanan itu tetapi tidak berani di Dewan Rakyat yang menyaksikan syor persempadanan itu diluluskan pada Rabu.
Perubahan itu diwartakan selepas Agong meluluskan laporan SPR itu.
Kerajaan Pulau Pinang memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan SPR mengecualikan hampir semua 13 kerusi Parlimen dan 40 kerusi DUN daripada persempadanan.
Bagaimanapun, permohonan itu ditolak Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Peguam kerajaan negeri mengajukan 8 soalan bersangkut-paut untuk diputuskan Mahkamah Persekutuan.