
“Alhamdulillah meskipun pelbagai hentaman, makian, kritikan yang dilemparkan ke atas saya berhubung maklum balas saya ke atas ahli Parlimen Baling di Parlimen, ironinya saya rasa saya makin dekat dengan Allah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemimpin Amanah itu berkata, beliau menghormati pandangan pihak tertentu yang merasakan kenyataannya bercanggah dengan akidah.
“Saya hormat kenyataan mereka. Tetapi saya mohon maaf kerana saya tidak akan tarik balik kenyataan saya tersebut. ‘My conscience is very clear’.
“Bagi yang maki hamun saya, insya Allah saya tak marah, malahan saya sedia maafkan jika andainya mereka bersalah kepada saya,” katanya.
Semalam, sesi petang Dewan Rakyat kecoh ketika perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar, di mana Hanipa memberi peluang kepada Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN-Baling) untuk mencelah sambil mempersendakan beliau.
Azeez kemudiannya meminta ahli Parlimen pembangkang bersikap adil dan tidak hanya menyebut isu berkaitan Datuk Seri Najib Razak, tetapi perlu juga membangkitkan isu mengenai Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hanipa menyusul dengan berkata: “Kalau saya Tuhan, dari awal saya tak jadikan kamu, menyusahkan orang saja. Sudah lama saya hapuskan kamu (Abdul Azeez).
“Sebab saya tak Tuhan, Tuhan jadikan juga orang macam kamu.”
Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) menasihatkan Hanipa menarik balik kenyataan itu yang disifatkan “tidak cantik dan manis”.
Hanipa bagaimanapun enggan menarik balik kenyataannya.
Hari ini, Hanipa ketika mempertahankan kenyataan itu turut menasihatkan mereka yang mengecam dan menghukumnya supaya membaca dan mendengar keseluruhan ucapannya terlebih dahulu.
“Itu baru bagi saya, kaedah sebenar dalam menghukum. Memberi pendapat di luar gelanggang dan menjatuhkan hukum kepada seseorang memang secara relatifnya lebih mudah.
“Ia menjadi lebih sukar bila ada puak-puak agama yang agak ‘slow’ untuk bersuara menentang rejim kleptokrasi, tetapi agak laju sepantas kilat mencari hukum tertentu untuk dikenakan kepada mereka yang menentang rejim si kleptokrat.”