Cathay Pacific mansuh peraturan skirt bagi kakitangan wanita

Cathay Pacific mansuh peraturan skirt bagi kakitangan wanita

Syarikat penerbangan Hong Kong mahu memansuhkan peraturan mewajibkan pemakaian skirt bagi kakitangan wanita yang diamalkan sejak 70 tahun lalu.

Free Malaysia Today
Anak kapal (kiri dan tengah) Cathay Pacific berjalan bersama bagasi selepas tiba di lapangan terbang antarabangsa di Hong Kong. (Gambar AFP)
HONG KONG:
“Kami mengalu-alukan dan menghargai keputusan syarikat untuk memberi pilihan dalam memilih pakaian seragam,” kata Naib Pengerusi Persatuan Anak Kapal Syarikat Penerbangan Hong Kong Dragon, Pauline Mak.

Beliau berkata ramai rakan sekerja wanita bimbang mengenai pemakaian skirt pendek semasa bertugas, terutama ketika meletakkan bagasi penumpang ke dalam ruang atas kepala dan juga ketika menggunakan pengangkutan awam di luar waktu bekerja.

“Ia bukan sahaja memberi kami satu lagi pilihan, tetapi juga memberi perlindungan kepada kami,” tambah Mak.

Gerakan #Metoo di media sosial memberi kekuatan kepada wanita untuk melawan gangguan seksual dan mendorong mereka meminta perlindungan yang selayaknya di tempat kerja dan dalam kehidupan seharian.

Mak berkata perubahan itu akan berlaku pada pembaharuan seragam nanti yang paling cepat dijangkakan berlaku dalam tempoh 3 tahun.

Syarikat penerbangan itu berkata ia akan menilai semula pakaian seragam bagi Cathay Pacific dan Cathay Dragon.

“Sama seperti kita menyedari betapa pentingnya memberi pelbagai pilihan kepada pelanggan, perkara yang sama juga untuk rakan sekerja kita,” kata syarikat penerbangan itu.

Pada 2014, anak kapal penerbangan Cathay Pacific memohon seragam direka semula kerana mereka berpendapat ia terlalu terdedah dan boleh mencetuskan gangguan seksual.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.