
Exco Pemuda Ibdillah Ishak hari ini tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Putrajaya petang tadi menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 terhadap badan kaji selidik itu.
Menurut Ibdillah, pihaknya turut membuat aduan kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).
Pengerusi biro media sosial Pemuda Umno itu berkata laporan “GE14 Prediction – What The Big Data Tells Us” yang dikeluarkan Invoke baru-baru ini menimbulkan keraguan sekitar perolehan data itu.
“Adakah Invoke memperoleh data-data peribadi rakyat secara sah ataupun adakah Invoke terlibat dalam pencarian data peribadi berjuta-juta rakyat Malaysia? Siapakah sumber yang memberi data ini kepada mereka?
“Adakah Invoke mendapat kebenaran JPDP untuk menyimpan dan seterusnya menggunakan data-data ini? Jika benar Invoke terlibat dengan pencurian data, maka Invoke adalah sama seperti Cambridge Analytica yang menggunakan pendekatan mencuri data untuk menipu rakyat dengan menghasilkan analisis yang berat sebelah dan tidak seimbang,” katanya.
Pada 9 Mac lalu, pengasas Invoke, Rafizi Ramli mendedahkan kaji selidik meramalkan Pakatan Harapan (PH) akan menawan 5 negeri, iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Johor dan Perak pada PRU14.
Katanya, PH akan memenangi 89 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, mendahului 76 kerusi Parlimen yang dimenangi Barisan Nasional (BN), sekiranya berlaku perlawanan pelbagai penjuru secara menyeluruh.
Bagaimanapun, ramalan lebih mengejutkan ialah PAS akan tewas di semua kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi mereka, termasuk di kubu kuat mereka, Kelantan.
Mengulas lanjut, Ibdillah percaya Invoke mempunyai agenda tertentu apabila mengeluarkan ramalan keputusan PRU14 lebih awal.
“Tujuan mereka melakukannya adalah untuk mengelirukan rakyat untuk tidak menerima keputusan rasmi sekiranya keputusan PRU tidak berpihak kepada pembangkang.
“Saya amat bimbang sekiranya wujud suasana ketidaktenteraman awam dan ketidakstabilan politik hasil daripada dakyah yang dilakukan oleh mereka ini,” katanya.