
Menurut jurucakap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Majistret Atiqah Abu Hassan memerintahkan keempat-empat mereka dibebaskan dengan setiap seorang dikenakan jaminan SPRM RM25,000 dengan 2 penjamin.
Keempat-empat mereka yang berusia 34 hingga 65 tahun terbabit adalah 3 pengarah syarikat dan seorang yang bergelar “Datuk” yang sebelum ini direman 4 hari bermula Ahad bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Dalam pada itu, mahkamah yang sama hari ini turut memerintahkan tempoh reman seorang pengarah syarikat berusia 53 tahun bergelar “Datuk” disambung 2 hari lagi mulai esok.
Sebelum ini pengarah syarikat berkenaan direman selama 7 hari yang berakhir hari ini bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes sama.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata siasatan pihaknya merangkumi penerimaan bayaran menerusi transaksi wang kira-kira RM200 juta kepada 5 syarikat iaitu masing-masing menerima lebih kurang RM68 juta, RM62 juta, RM42 juta, RM16.5 juta dan RM8.5 juta.
Penjualan tanah seluas 880 hektar kepada syarikat pemaju swasta pada harga RM1.18 bilion di mukim Ijok itu menimbulkan banyak kontroversi selain turut dipersoalkan pelbagai pihak, termasuk peneroka.