Jho Low halang rancangan AS rampas kapal layar mewah

Jho Low halang rancangan AS rampas kapal layar mewah

Peguam kepada ahli perniagaan Malaysia itu berkata, kerajaan AS tidak tahu cara menjaga atau memasarkan kapal layar seperti Equanimity.

Free Malaysia Today
Equanimity disita kerajaan Indonesia di Bali bulan lepas (Gambar Reuters)
LOS ANGELES:
Pembiaya Malaysia, Low Taek Jho yang didakwa Amerika Syarikat (AS) terbabit dalam rancangan menyeleweng AS$4.5 bilion (RM17.36 bilion) daripada sebuah dana kerajaan, bertindak menghalang rancangan Jabatan Kehakiman AS (DoJ) memindahkan kapal layarnya yang bernilai AS$250 juta (RM964.38 juta) dari Indonesia ke negara itu.

“Kerajaan tidak tahu cara untuk menjaga atau memasarkan kapal layar mewah seunik M/Y ‘Equanimity’,” kata peguamnya dalam satu permintaan pada Isnin atas perintah kecemasan untuk memastikan kapal itu masih berlabuh di Bali.

Kumpulan peguam itu mewakili pihak mendakwa memiliki Equanimity, yang menentang tuntutan rampasan AS ke atas kapal layar mewah sepanjang 300 kaki itu.

“Contohnya, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan jumlah anak kapal daripada lebih 20 orang kepada hanya 8 orang, jumlah itu terlalu sedikit dan mungkin membahayakan nyawa anak kapal dan keadaan kapal layar itu,” kata mereka.

Tambahan, DoJ mahu menjual kapal layar itu di AS, di mana pasaran bagi kapal layar mewah tidak begitu memberangsangkan menjelang akhir musim luruh berbanding beberapa tempat di Mediterranean seperti Monaco atau Barcelona, menurut pemfailan di Mahkamah Persekutuan Los Angeles.

Tiada bukti mengatakan jualan di AS akan mengurangkan nilai kapal layar itu, kata DoJ dalam permintaan mahkamah untuk menahan Equanimity. Kerajaan memetik laporan Analisis Pasaran Kapal Layar Mewah Global 2017 di mana Amerika Utara mempunyai 45% bahagian pasaran bagi jualan “kapal layar mewah”.

Jun tahun lalu, pendakwa raya AS memfailkan tuntutan pusingan ke-2 dalam usaha merampas aset yang didakwa dibeli dengan wang yang dicuri daripada 1MDB.

Tuntutan itu termasuk kapal layar Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low, yang dibeli pada 2014, berlian berbentuk hati bernilai AS$1.29 juta (RM4.98 juta) dan loket berlian bernilai AS$3.8 juta (RM14.66 juta) yang diberikan kepada bekas teman wanitanya dan pelakon, Miranda Kerr, pada tahun sama.

Aset lain dikaitkan dengan dana 1MDB diseleweng termasuk hartanah di London, New York, dan Beverly Hills, saham dalam EMI Music Publishing serta sebuah pesawat Bombardier bernilai AS$35 juta (RM135.01 juta).

Selepas DoJ memfailkan tuntutan rampasan terhadap kapal layar mewah itu tahun lepas, Jho Low mengarahkan anak kapalnya mengelakkan ia berlayar di negara seperti Singapura dan Australia, di mana kerajaannya mungkin merampas kapal layar itu, sebaliknya ia berlayar di tempat “selamat” seperti Kemboja dan Vietnam, menurut pemfailan AS itu.

Apabila AS difahamkan bulan lepas kapal itu berlayar berdekatan Bali, ia meminta Jakarta menyita dan menyerahkannya. Pihak yang mendakwa pemilik kapal layar itu sudah memfailkan tuntutan di Indonesia bagi mencabar penyitaan itu.

Peguam: Kapten ‘Equanimity’ tak tahu siapa pemilik kapal

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.