Doktor: Pelajar UPNM letih, dehidrasi sehari sebelum meninggal

Doktor: Pelajar UPNM letih, dehidrasi sehari sebelum meninggal

Doktor Azfar Hussin yang juga saksi ke-7 berkata Zulfarhan Osman Zulkarnain mengunjungi kliniknya kali ke-2 untuk mencuci luka.

KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini diberitahu Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia dipercayai akibat didera rakan seuniversitinya tahun lepas, kembali ke klinik sama untuk mendapatkan rawatan, dalam keadaan letih dan dehidrasi, sehari sebelum dia meninggal dunia.

Pegawai Perubatan Klinik As-Salam Bandar Baru Bangi, Doktor Azfar Hussin, 34, berkata Zulfarhan kembali ke kliniknya pada pagi 31 Mei 2017, selepas rawatan kali pertama, 4 hari sebelumnya pada 27 Mei 2017.

Azfar memberitahu mahkamah, terdapat beberapa perbezaan pada Zulfarhan pada rawatan kali ke-2 itu berbanding ketika ditemuinya kali pertama termasuk dia kelihatan letih dan mengalami dehidrasi.

“Zulfarhan lebih banyak minta bantuan rakan-rakan untuk bergerak dan membuka pakaian berbanding 4 hari sebelumnya apabila dia melakukan perkara itu sendiri. Pemeriksaan fizikal juga mendapati mangsa dehidrasi, bibir dan lidah kering,” katanya sambil menambah Zulfarhan juga muntah beberapa kali sepanjang rawatan.

Azfar berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah pada hari ke-3 perbicaraan kes membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan hari ini.

Saksi pendakwaan ke-7 itu berkata dia turut diberitahu mangsa juga ada muntah beberapa hari sebelum ke klinik itu.

Terdahulu, Azfar berkata beliau bertanyakan Zulfarhan kenapa dia datang semula ke klinik itu dan tidak pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan mangsa memberitahu keadaannya bertambah baik.

Katanya Zulfarhan memberitahu mahu mendapatkan rawatan cucian di klinik dan akan pergi ke hospital selepas itu.

“Kawan-kawan (Zulfarhan Osman) kata benda sama, keadaan bertambah baik dan perlukan dressing sahaja. Saya beritahu sepatutnya awak terus pergi ke Hospital Serdang tetapi Zulfarhan kata tak apa doktor, tak apa, dressing dulu sebab saya susah nak bergerak, sebab kali pertama saya tak buat balutan di peha,” katanya dan Zulfarhan memintanya membuat cucian di peha dan punggung.

Azfar berkata beliau juga ada membuat pemeriksaan lanjut dan mendapati tanda vital termasuk tekanan darah, degupan jantung dan paras oksigen serta suhu Zulfarhan berada dalam keadaan normal selain lukanya juga kelihatan baik.

Kepada soalan Othman siapakah 2 rakan yang menemani Zulfarhan pada rawatan kali ke-2 itu dan adakah mereka ada di mahkamah, beliau menunjuk ke arah tertuduh pertama Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, dan tertuduh ke-2, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, yang berada di kandang tertuduh.

Menjawab soalan Othman bilakah doktor itu mengetahui Zulfarhan meninggal dunia, beliau berkata pada 2 Jun 2017, apabila pihak polis dan pegawai Kementerian Kesihatan datang ke kliniknya untuk mengambil keterangan.

Enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM, antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei tahun lalu.

Pertuduhan terhadap mereka yang semua berusia 22 tahun itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 7 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 26 April.

Tertuduh beritahu penuntut UPNM melecur akibat letupan semasa latihan

Kes bunuh pelajar UPNM: 19 akan dibukti terlibat

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.