
Pembentangan cadangan kerusi DUN dan Parlimen baharu itu akan dibuat selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selesai mengkaji persempadanan semula kawasan Parlimen, kata Wakiman dalam kenyataan hari ini.
Sukarti berkata cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang sudah diluluskan Dewan Undangan Negeri Sabah akan disusuli dengan kerajaan negeri memohon Putrajaya menjalankan kajian persempadanan semula kawasan Parlimen untuk menambah bilangan kerusi.
Sukarti memberikan beberapa sebab cadangan itu dibuat antaranya kali terakhir persempadanan semula kawasan Parlimen dilaksanakan adalah 15 tahun lalu.
“Keperluan untuk menambah jumlah perwakilan Sabah dalam Parlimen sejajar dengan status dan kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.
“Keluasan luar biasa sesetengah kawasan Parlimen di Sabah termasuk melebihi saiz beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.
“Peningkatan keberkesanan khidmat kepada rakyat dengan saiz kawasan yang sewajarnya mengambil kira sempadan pentadbiran daerah dan perwakilan rakyat di peringkat Parlimen.”
Wakiman berkata kerajaan negeri difahamkan permohonan tersebut sedang dipertimbangkan SPR.
Pengumuman Sukarti memberi petunjuk pengesahan kerusi DUN baharu di Parlimen akan tertunda lagi.
Pembangkang mengkritik kelewatan itu dan mempersoalkan keperlembagaan mengadakan pilihan raya umum nanti tanpa kerusi DUN baharu.
Sementara itu beberapa parti komponen BN menyatakan hasrat mahu bertanding di beberapa kerusi daripada 13 kerusi baharu itu.