Peruncit dakwa tak tahu larangan surcaj kad kredit

Peruncit dakwa tak tahu larangan surcaj kad kredit

Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia menggesa BNM mendidik peniaga mengenai objektif mempromosi transaksi tanpa tunai.

PETALING JAYA:
Ramai peruncit mendakwa mereka tidak tahu mengenai larangan mengenakan surcaj bagi bayaran kad kredit atau debit yang terkandung dalam Rangka Kerja Pembaharuan Kad Pembayaran, menurut laporan The Malaysian Reserve (TMR).

Timbalan Presiden Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA), Valerie Choo, berkata mereka hanya tahu mengenai rangka kerja itu selepas kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) minggu lepas.

Rangka kerja itu dilaksanakan secara berperingkat oleh BNM sejak 15 Januari 2015.

“Ramai peruncit tidak tahu tentang rangka kerja itu. Jadi, MRCA menggesa BNM menjalankan lebih banyak perbincangan dengan persatuan runcit, atau mendidik peruncit mengenai objektif mempromosikan transaksi tanpa tunai dan kos berbeza apabila menerima kad bayaran berbeza.

“BNM juga harus memperkasa pedagang untuk menggalakkan pengguna menggunakan kad bayaran dengan kos lebih rendah, seperti kad debit.

“Kami berharap BNM akan melindungi pedagang daripada Kadar Diskaun Peniaga (MDR) yang tinggi atau kenaikan sembarangan MDR oleh bank, terutamanya bagi peruncit kecil,” kata Choo kepada TMR.

Katanya, peruncit kecil tidak berminat menerima kad bayaran jika kosnya lebih tinggi dan mereka tidak mampu.

Choo yang juga pengarah urusan Simply Asewome Sdn Bhd, mengakui peruncit tertentu, terutamanya yang memperoleh margin keuntungan kecil, mengenakan surcaj.

Katanya, kebanyakan peruncit, pada waktu sama, akan menyerap yuran transaksi yang dikenakan oleh bank.

BNM berkata, larangan surcaj itu dikawal selia dan dikuat kuasa bank yang menyediakan kemudahan e-bayaran kepada pedagang.

Katanya, salah satu sebab peruncit mengenakan surcaj ialah untuk memulihkan kos daripada setiap pembayaran kad.

Sebelum larangan itu, peruncit biasanya akan dikenakan yuran transaksi yang juga dikenali sebagai MDR, yang mana secara umumnya lebih tinggi bagi kad kredit berbanding kad debit.

Choo berharap BNM akan memastikan bank mengenakan caj MDR adil ke atas setiap kad bayaran untuk mewujudkan platform bagi ketelusan.

Laporan TMR itu juga memetik Naib Presiden MRCA, Datuk Liew Bin yang berkata, isu surcaj sudah lama timbul.

“Hanya peruncit dengan margin tidak baik akan mengenakan surcaj itu ke atas bayaran kad.

“Bagi saya, ia adalah langkah baik BNM mengeluarkan kenyataan itu kerana saya tidak rasa ada keperluan untuk mengenakan surcaj ke atas bayaran kad, memandangkan peruncit akan mendapat semula wang itu dalam 3 hari dari bank,” kata Liew kepada TMR.

Liew yang juga ketua pegawai eksekutif Bagman Corp Sdn Bhd berkata, BNM mungkin memperkenalkan langkah itu untuk menggalakkan penggunaan “e-wallet” dan bayaran mudah alih.

Katanya, yuran transaksi bagi perkhidmatan e-wallet lebih rendah daripada MDR untuk kad debit dan kredit.

BNM: Tiada caj tambahan dibenar atas bayaran kad debit, kredit

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.