
“SPRM sudah menyiasat maklumat yang diterima terhadap Datuk Seri Khaled Nordin namun mendapati maklumat tersebut tidak berasas,” kata menteri di Jabatan Perdana Menteri itu secara ringkas.
Low berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara), yang bertanyakan sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat maklumat yang terkandung dalam dokumen rakaman percakapan tertuduh yang dibocorkan tahun lalu.
Pada November, Adun Senai Wong Shu Qi di Dewan Undangan Negeri meminta Khaled menjelaskan tuduhan menerima RM12 juta daripada pemaju untuk mengubah status hartanah Bumiputera kepada bukan Bumiputera.
Wong mendakwa mendapat tahu mengenai perkara itu melalui dokumen lebih 140 muka surat “dokumen siasatan SPRM berserta jadual transaksi wang” yang dimuat naik di internet.
Dokumen itu dikatakan mempunyai kaitan dengan siasatan SPRM terhadap bekas exco Johor, Datuk Abdul Latif Bandi, dalam skandal penukaran status hartanah Bumiputera.
Beliau mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, dan didakwa April lalu atas 33 pertuduhan bersama seorang juru runding hartanah melibatkan wang suapan RM30.3 juta.
Khaled Nordin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan menerima suapan jutaan ringgit seperti yang terkandung dalam “dokumen” yang dikatakan dokumen siasatan SPRM itu.
“Pentadbiran saya tidak menerima apa-apa suapan, tidak akan menerima apa-apa suapan dan akan menentang segala usaha untuk memberi apa jua bentuk suapan,” katanya.