
Pengarah Taman-taman Sabah, Dr Jamili Nais berkata, keputusan itu mengambil kira aspek keselamatan pendaki yang mungkin kurang selesa, jika mereka berlainan pegangan politik dengan malim gunung mereka.
“Bayangkan jika malim gunung secara terbuka menunjukkan kecenderungan politiknya kepada pendaki yang menyokong parti lawan. Pendaki atau pelancong itu tentu berasa tidak selesa dan tidak selamat,” katanya kepada FMT.
Tiga malim gunung itu digantung kerja 2 bulan sehingga 31 Mac ini, selepas gambar mereka mengibar bendera Warisan muncul di media sosial, minggu lepas.
Seorang daripada mereka, Jomius Binte, menerima surat daripada Pengurus Taman Kinabalu, Yassin Miki, Selasa lepas, mendakwa beliau menjejaskan kerjayanya dengan mencampuradukkan politik dengan kerja.
“Perbuatan anda bukan sahaja mengundang persepsi negatif terhadap malim gunung, tetapi juga memaksa kami mengambil tindakan tegas terhadap tingkah laku tidak beretika itu,” menurut surat tersebut.
Jamili berkata, arahan penggantungan itu dibuat selepas berbincang dengan Persatuan Malim Gunung Kinabalu.
“Semua orang mempunyai hak demokratik untuk menyokong parti politik pilihan mereka. Tetapi, kakitangan dan malim gunung Taman Sabah yang merupakan kakitangan bebas yang dilesenkan Taman-taman Sabah, tidak harus membawa sebarang unsur politik, sama ada kerajaan atau pembangkang, ke tempat kerja.”