Matta tidak setuju larangan caj tambahan kad kredit

Matta tidak setuju larangan caj tambahan kad kredit

Agensi pelacongan dan syarikat pengembaraan beroperasi dengan margin rendah, tidak seperti gedung runcit di pusat membeli-belah.

KUALA LUMPUR:
Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) tidak berpuas hati dengan larangan surcaj terhadap pembayaran melalui kad kredit kerana boleh mendatangkan kesulitan kepada ahlinya dan juga pelancong.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang, berkata agensi pelacongan dan syarikat pengembaraan beroperasi dengan margin rendah, tidak seperti gedung runcit di pusat membeli-belah.

“Disebabkan itu, surcaj perlu dikenakan terhadap pembayaran melalui kad kredit untuk memperoleh kembali kos kadar diskaun peniaga (MDR) dikenakan oleh bank,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, cara mudah untuk agensi pelancongan dan syarikat pengembaraan adalah memasukkan MDR ke dalam harga, tetapi ini tidak adil kepada sebilangan besar pelanggan yang membayar secara tunai, melalui cek atau dalam talian.

“Ia memberi lebih kebaikan kepada pengguna apabila bayaran dikenakan lebih telus dan dikenakan serendah mungkin,” tambahnya.

Tan berkata, tindakan terhadap syarikat pengendali pelancongan yang cuba memperoleh kembali kos MDR hanya akan memberi kesan sebaliknya,

“Adalah lebih baik untuk Bank Negara Malaysia memikirkan kemungkinan menghapuskan MDR atau mengurangkan kadarnya untuk jumlah bayaran besar. Ini akan memberi manfaat besar kepada pengguna dan perniagaan, selain memacu pertumbuhan bayaran tanpa tunai di Malaysia,” katanya.

Namun begitu katanya, ahli Matta perlu mematuhi kod etika persatuan, termasuk menjalankan operasi perniagaan yang sah dengan cara yang adil dan telus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.