
Tertuduh, termasuk seorang kakitangan parti pemerintah Perdana Menteri Narendra Modi, didapati bersalah membunuh Alimuddin Ansari di timur negeri Jharkhand pada Jun 2017.
Ia merupakan salah satu siri serangan yang berkaitan dengan lembu, yang dianggap suci oleh penganut Hindu.
Lelaki-lelaki terbabit didakwa membunuh, melakukan rusuhan dan kesalahan lain di bawah Kanun Keseksaan India.
“Mahkamah menjatuhi hukuman penjara seumur hidup semalam,” kata Rajesh Kumar, pegawai kanan polis di Ramgarh kepada AFP melalui perbualan telefon pada Khamis.
“Ini adalah kes pertama di mana mahkamah mensabit dan menghukum (pelakunya) berhubung vigilantisme lembu.”
Pegawai polis itu berkata sejumlah lelaki ditangkap berhubung pembunuhan itu tetapi mahkamah menangguhkan keputusannya terhadap tertuduh ke-12 yang dikatakan melakukan kesalahan kecil.
India menyaksikan gelombang ketegangan yang semakin memuncak dengan pembunuhan dan penyeludupan lembu di negara majoriti Hindu, di mana penyembelihan lembu adalah kesalahan yang boleh dihukum di kebanyakan negeri termasuk Jharkhand.
Sebilangan rakyat terutama umat Islam dan kasta rendah Dalit menjadi sasaran kerana didakwa membunuh atau memakan daging lembu.
Kes yang serupa melibatkan keganasan vigilan lembu kini di peringkat perbicaraan, menurut laporan media India.
Human Rights Watch (HRW) menggesa penguatkuasa undang-undang mengambil tindakan segera dengan melakukan penyiasatan dan pendakwaan yang boleh dipercayai dalam kes yang belum selesai untuk mengekang “mereka yang bertanggungjawab terhadap jenayah kebencian”.
“Pihak berkuasa masih ada masa sebelum mereka dapat memberi keyakinan kepada kaum minoriti agama dan komuniti terpinggir bahawa keselamatan mereka akan terjamin,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pengkritik Modi berkata vigilan itu mendapat mandat pada pilihan raya 2014 apabila parti kerajaan, Parti Bharatiya Janata dijanjikan akan mengambil tindakan terhadap penyembelihan lembu di seluruh India.
Perdana menteri mengutuk vigilan tersebut, mengatakan pembunuhan atas nama melindungi lembu tidak dapat diterima, tetapi ia gagal menghalang sesetengah penyerang.
Ogos lalu, penduduk di timur India memukul 2 penganut Islam sehingga mati ketika mengangkut lembu menggunakan lori dengan alasan melindungi lembu.