Parti Indonesia: Hukuman ringan terhadap Datin dera amah duluan buruk

Parti Indonesia: Hukuman ringan terhadap Datin dera amah duluan buruk

Parti Solidariti Indonesia mendesak kerajaan Indonesia mempertanyakan kebebasan kehakiman Malaysia.

PETALING JAYA:
Satu parti politik Indonesia mengkritik hukuman ringan yang dikenakan terhadap Datin Rozita Mohd Ali yang mengaku bersalah mendera pembantu rumahnya baru-baru ini.

Parti Solidariti Indonesia (PSI) berkata hukuman ringan itu dapat menjadi duluan buruk penanganan kes kekerasan terhadap pekerja Indonesia.

“Dari pemantauan atas proses peradilan ditemukan kejanggalan berupa perubahan tuntutan atau dakwaan,” kata PSI dalam kenyataan hari ini.

Parti itu merujuk kepada pendakwaan terhadap Rozita yang diubah daripada Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun penjara kepada Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman 3 tahun penjara atau denda.

“Terkait hal ini, PSI mendesak pemerintah Indonesia mempertanyakan kebebasan kehakiman Malaysia. Selain itu, perlu adanya investigasi menyeluruh atas berbagai kejanggalan dalam proses persidangan sebagai bahan pengajuan banding atas putusan tidak adil tersebut.”

Dilaporkan Rozita didakwa menggunakan pisau dapur, penyangkut baju, mop besi dan payung untuk mencederakan kepala, tangan, kaki dan organ dalaman Suyanti Sutrinso.

Rozita pada mulanya didakwa kerana percubaan membunuh tetapi kemudiannya didakwa kerana menyebabkan kecederaan teruk dengan sengaja.

Rozita dikenakan jaminan RM20,000 untuk berkelakuan baik selama 5 tahun oleh Hakim Mahkamah Sesyen Mohammed Mokhzani Mokhtar selepas menukar pengakuan kepada mengaku salah menyebabkan kecederaan teruk.

Banyak pihak, termasuk peguam, terkejut dan marah berikutan Rozita tidak dijatuhi hukuman penjara walaupun selepas mahkamah mendengar keterangan 10 saksi, termasuk mangsa dan doktor yang merawatnya.

Ia membawa kepada petisyen yang ditujukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Azalina Othman Said menyeru keadilan sama rata bagi yang kaya dan miskin, yang sudah mencecah 70,000 tandatangan.

Kelmarin, Pejabat Peguam Negara memfailkan semakan kehakiman terhadap hukuman Rozita. Semalam, Duta Besar Indonesia di Malaysia, Rusdi Kirana berkata, pihaknya akan terus memantau kes itu.

“Kedutaan tidak akan campur tangan dan mempercayai proses perundangan Malaysia akan menang,” katanya lapor portal Detik.com.

Mahkamah Tinggi Shah Alam bersidang hari ini bagi mendengar rayuan pihak pendakwaan tetapi Rozita gagal menampilkan diri.

Mahkamah diberitahu polis tidak menemui Rozita di alamat terakhirnya di Kuala Lumpur dan Melaka.

Hakim Datuk Seri Tun Abdul Majid Tun Hamzah menetapkan 29 Mac ini untuk mendengar permohonan pendakwa, dan berkata Mahkamah Sesyen boleh mengenakan hukuman penjara jika Rozita gagal mematuhi syarat bon ikat jamin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.