Pekerja Indonesia dihukum pancung di Arab Saudi kerana bunuh majikan

Pekerja Indonesia dihukum pancung di Arab Saudi kerana bunuh majikan

Tertuduh, Muhammad Zaini Misrin Arsyad mendakwa dia dipaksa mengaku membunuh majikannya oleh polis dan penterjemah Arab Saudi.

Free Malaysia Today
Muhammad Zaini Misrin dikatakan dipaksa mengaku melakukan pembunuhan itu akibat tekanan daripada polis dan penterjemah Arab Saudi. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki Indonesia dijatuhkan hukuman pancung di Arab Saudi selepas didapati bersalah membunuh majikannya, lapor portal Detik.com.

Tertuduh, Muhammad Zaini Misrin Arsyad yang bekerja sebagai pemandu dituduh membunuh Abdullah bin Umar Muhammad Al Sindy pada Julai 2004.

Pengarah Migrant Care, Wahyu Susilo yang menguruskan kemasukan pekerja Indonesia ke Arab Saudi bagaimanapun mendakwa tertuduh dipaksa mengaku bersalah oleh polis dan penterjemah.

“Pada 2009, konsulat jeneral Indonesia di Jeddah dibenarkan menemui Zaini, selepas dia dijatuhkan hukuman mati.

“Zaini memberitahu konsulat jeneral dia dipaksa mengaku membunuh majikannya atas tekanan daripada polis dan penterjemah,” kata Wahyu.

Berdasarkan pengakuan tertuduh, pihak konsulat jeneral menulis surat kepada Kementerian Luar Arab Saudi untuk merayu membebaskan tertuduh daripada hukuman mati.

Mahkamah Rayuan kemudiannya menyiasat semula kes itu, susulan bukti dan rayuan dikemukakan konsulat jeneral dari 2011 hingga 2014.

Presiden Indonesia, Joko Widodo memohon pengampunan bagi pihak Zaini ketika beliau mengunjungi Arab Saudi pada September 2015 dan menulis surat kepada Riyadh menggesa pembebasan pekerja asing daripada hukuman mati.

Beliau turut bercakap sendiri dengan Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud ketika Raja Saudi itu mengunjungi Indonesia pada Mac 2017.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.