
Saksi pertama siasatan awam itu, Syed Amri Abdul Jalil, bagaimanapun tidak ingat kebanyakan butiran kejadian kecuali kenderaan pacuan 4 roda terbabit berwarna gelap, dan seorang lelaki “tinggi dan berbadan besar” keluar dari salah satu kenderaan itu.
Apabila diminta memberikan gambaran lelaki itu, Syed Ari hanya teringat lelaki itu berpakaian kemeja T berkolar dan berseluar jeans.
Syed Amri sedang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari gim apabila ternampak kenderaan-kenderaan itu. Kejadian berlaku sekitar tengah malam dan dia sedang berhenti di lampu merah di Jalan Padang Behor, Kangar, Perlis.
Beliau berkata kenderaan-kenderaan terlibat menarik perhatiannya kerana mereka berhenti kira-kira 300m dari tempatnya tanpa sebab.
Syed Amri memberitahu Suhakam, beliau pada mulanya beranggapan ada kemalangan. Beliau memperlahankan motosikal untuk melihat dengan lebih dekat tetapi tidak berhenti di situ.
Menurut Syed Amri, dia datang dari arah bertentangan dan dipisahkan pembahagi jalan.
“Saya tidak melihat secara jelas apa yang berlaku sebab keadaan jalan gelap dan pada masa itu hanya lampu kedai makan dan kedai tayar sahaja ada, selain lampu kenderaan.
“Semasa kejadian, ada sebuah motosikal lain dan beberapa kereta lain berhenti kerana keadaan jalan terhalang,” katanya yang menganggarkan kejadian itu berlaku kurang seminit.
Pesuruhjaya Suhakam Datuk Mah Weng Kwai yang mempengerusikan panel berkata pemerhati polis tidak mengajukan soalan pada Syed Amri.
“Saya terkejut tiada soalan daripada pihak berkuasa. Ini seorang saksi yang sangat penting,” katanya.
Amri, 44, pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016.
Selain kehilangan Amri, Suhakam turut menyiasat kehilangan Paderi Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth. Kali terakhir pasangan itu ditemui pada 30 November 2016.
Siasatan awam itu turut melihat kes Pasor Raymond Koh, yang hlang sejak Februari tahun lalu selepas diculik kira-kira 10 orang di Petaling Jaya.
Siasatan itu tidak diteruskan selepas seorang suspek dituduh menculik pastor itu di mahkamah.
Isteri aktivis Perlis yang hilang disoal mengenai ‘gambar Syiah’