Exco: Apa sumbangan Umno kepada Melayu di Pulau Pinang?

Exco: Apa sumbangan Umno kepada Melayu di Pulau Pinang?

Afif Bahardin mempersoalkan sumbangan Perda dalam membantu meningkatkan pemilikan aset Bumiputera di Pulau Pinang.

Free Malaysia Today
Afif Bahardin mempersoalkan berapa banyak tanah dan aset Bumiputera yang dijual Perda sejak ia ditubuhkan pada 1983. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Exco Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin hari ini menyangkal dakwaan Adun Barisan Nasional (BN) orang Melayu di Pulau Pinang banyak terlepas peluang ekonomi.

Beliau sebaliknya mempersoalkan sumbangan Adun Pulau Betong, Datuk Muhamad Farid Saad dan pemimpin Umno Pulau Pinang lain untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Melayu di sini.

Farid yang juga pengerusi Jawatankuasa Focus Group Pembangunan Usahawan dan Koperasi Bumiputera Pulau Pinang di bawah Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, mengeluh penglibatan orang Melayu dalam ekonomi, industri, bidang profesional dan pemilikan aset, seperti premis perniagaan dan hartanah tidak begitu memberangsangkan.

Beliau dalam satu temu bual bersama Berita Harian berkata, saiz pemilikan tanah untuk penduduk asal di pulau itu semakin hilang, dengan ramai berhijrah ke tanah besar akibat kos sara hidup semakin tinggi.

Afif yang mengetuai Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri hari ini mengadakan sidang akhbar untuk mempersoalkan kejayaan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) yang ditubuhkan untuk meningkatkan pemilikan aset Bumiputera di Pulau Pinang.

“Sejak Perda ditubuhkan pada 1983, berapa banyakkah tanah dan aset Bumiputera dijual oleh Perda?

“Boleh tunjuk di manakah aset Perda?

“Sebarang statistik untuk menunjukkan aset Bumiputera di Pulau Pinang oleh Perda?

Afif mendakwa respons Perda beberapa tahun lepas ialah menjual aset dan tanah dimilikinya, yang terbaru ialah jualan sebidang tanah di Seberang Perai Selatan pada harga RM16 juta, di bawah harga pasaran.

Timbalan ketua Pemuda PKR itu juga mempersoalkan status syarikat hartanah milik kerajaan persekutuan, JKP Sdn Bhd.

Beliau berkata, apa yang berlaku kepada projek sepatutnya difokuskan JKP untuk dibangunkan dan meningkatkan pemilikan aset Bumiputera di Pulau Pinang.

“Ini soalan-soalan yang Farid harus jawab.

“Jangan hanya bersandiwara dan main-mainkan seolah-olah Bumiputera di Pulau Pinang terus terpinggir, sedangkan agensi bertanggungjawab dipimpin pemimpin Umno.”

Afif berkata, kerajaan Pulau Pinang masih fokus untuk membantu semua golongan tanpa mengira kaum, asalkan mereka memerlukan bantuan, terutamanya dari segi pemilikan aset dan rumah.

“Sebab itulah kami fokus kepada pembangunan rumah mampu milik dan rumah rakyat untuk Pulau Pinang, tanpa mengira daerah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.