
Petisyen itu, dimulakan oleh “Keadilan saksama untuk rakyat Malaysia” (Equal justice for Malaysians”, ditujukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Azalina Othman Said.
Petisyen yang setakat ini berjaya mengutip 23,183 tandatangan berkata jenayah dilakukan oleh Datin Rozita Mohd Ali terhadap pembantu rumahnya adalah “keji, tidak berperikemanusiaan dan semestinya mengundang hukuman yang lebih berat daripada ‘ikat jaminan berkelakuan baik'” semata-mata.
“Beliau sepatutnya didakwa atas percubaan membunuh atau berniat melakukan kecederaan serius.
“Kita memilih sebuah kerajaan yang tidak seharusnya mempunyai apa-apa pengaruh ke atas sistem kehakiman. Walaupun beliau seorang Datin, kaya dan mengenali orang ternama, ia tidak memberinya hak untuk melayani orang lain sebegitu.
“Apakah teladan yang kita tunjukkan kepada rakyat dan anak-anak kita? Malaysia mesti serius dalam menangani isu hak asasi manusia,” kata petisyen itu.
Antara yang menandatangani petisyen itu ialah pembaca bernama Lia Dewiyanti yang menulis, “Tegakkan keadilan untuk tenaga kerja wanita Indonesia.”
Pembaca lain, Audrey Risly, menulis, “Penjenayah mesti dihukum. Apa yang dilakukan adalah sengaja dan berniat jahat. Tiada keraguan di situ. Tiada jenayah, terutama yang dengan sengaja membahayakan nyawa orang lain, harus terlepas daripada hukuman.”
Klip video pembantu rumah berkenaan, Suyanti Sutrinso, yang cedera parah dan terbaring berhampiran longkang di kawasan perumahan di Mutiara Damansara tular pada Disember 2016.
Dilaporkan Rozita didakwa menggunakan pisau dapur, penyangkut baju, mop besi dan payung untuk mencederakan kepala, tangan, kaki dan organ dalaman Suyanti.
Rozita pada mulanya didakwa kerana percubaan membunuh, tetapi kemudiannya didakwa bawah Seksyen 326, iaitu menyebabkan kecederaan teruk dengan sengaja.
Suri rumah itu dikenakan jaminan RM20,000 untuk berkelakuan baik selama 5 tahun oleh Hakim Mahkamah Sesyen Mohammed Mokhzani Mokhtar selepas menukar pengakuan kepada mengaku salah menyebabkan kecederaan teruk.
Banyak pihak, termasuk peguam, terkejut dan marah berikutan beliau tidak dijatuhi hukuman penjara.
Peguam Ramkarpal Singh berkata Mahkamah Sesyen terkhilaf semasa menjatuhkan hukuman ke atas Rozita yang menyerang Suyanti.
“Undang-undang tidak lagi membenarkan bon berkelakuan baik dalam kes-kes melibatkan kesalahan serius, yang ditakrifkan dalam Kanun Keseksaan sebagai kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama 10 tahun atau lebih,” katanya.
Beliau berkata bawah Seksyen 326 yang digunakan untuk mendakwa Rozita, sabitan boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun, dan termasuk dalam takrif “kesalahan serius.”
Peguam Eric Paulsen mempersoal keputusan mahkamah walaupun selepas ia mendengar keterangan 10 saksi, termasuk mangsa dan doktor yang merawatnya.
“Kami tidak nampak keadaan yang boleh meringankan hukuman Rozita atas kesalahan yang begitu serius, sedangkan dia menyebabkan kecederaan pada tangan, kepala, kaki dan organ dalaman mangsa,” katanya.
Jabatan Peguam Negara memfailkan notis rayuan terhadap hukuman itu.