
Beliau berkata menteri-menteri Kabinet ketika itu, termasuk Datuk Seri Najib Razak, juga harus dipersalahkan.
Bekas perdana menteri itu menjelaskan keputusan untuk menangkap orang bawah ISA adalah “tanggungjawab kolektif” kerajaan.
“Jika beliau fikir saya telah melakukan sesuatu kesalahan, beliau bebas untuk kritik saya dan bantah,” katanya di Majlis Dialog Negarawan bersama OKU di Subang Jaya hari ini.
Pada 1987, Najib adalah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam Kabinet Dr Mahathir.
Khamis lalu, dalam ucapan kepada kakitangan awam di Perak, Najib mempertikaikan tindakan Dr Mahathir menggelarnya seorang diktator.
Najib dilaporkan berkata pentadbirannya tidak pernah berlaku zalim dan tidak menahan ahli politik tanpa bicara seperti Dr Mahathir.
Najib merujuk tangkapan lebih 100 aktivis dan ahli politik bawah ISA dalam Operasi Lalang 1987.
Operasi itu sering menjadi isu dalam kalangan pengkritik Dr Mahathir yang meragui janji reformasi politik daripada bekas perdana menteri itu.
Tahun lalu, Dr Mahathir berkata dia sedia dipersalahkan atas tangkapan itu, tetapi menjelaskan keputusan menahan aktivis bawah ISA adalah keputusan polis.