
Pengumuman itu pengesahan rasmi pertama tentang langkah yang menyusuli rundingan diplomatik belakang tabir selama beberapa bulan bagi mengelakkan sebarang pertengkaran dengan Arab Saudi, lapor Reuters Februari lepas.
Kebimbangan terhadap masjid terbesar di Brussels itu, yang terletak berhampiran ibu pejabat Kesatuan Eropah, muncul selepas kumpulan militan Islam yang merancang serangan di bandar raya itu membunuh 130 orang di Paris pada 2015, dan 32 orang di Brussels pada 2016.
Keputusan semalam menamatkan tempoh pajakan 99 tahun tanpa sewa oleh Arab Saudi ke atas bangunan itu, kata kerajaan.
“Konsesi akan ditamatkan serta-merta…bagi menghentikan campur tangan asing ke atas cara Islam diajar di Belgium,” kata kerajaan dalam kenyataan.
Belgium memajakkan masjid berkenaan kepada Riyadh pada 1969, memberi imam tajaan Saudi akses kepada komuniti pendatang Islam yang membesar, kebanyakannya dari Maghribi dan Turki, sebagai tukaran bagi minyak lebih murah untuk kegunaan industri negara itu.
Ia dikendalikan oleh Liga Islam Sedunia (MWL) yang berpangkalan di Mekah, satu pertubuhan dakwah yang ditaja Arab Saudi. MWL menafikan dakwaan ia menyokong keganasan.
Menteri Dalam Negeri Belgium, Jan Jambon di Twitter semalam berkata, “dengan cara ini kita dapat menghalang pengaruh pelampau ganas Salafi.”
Persetujuan pantas Riyadh menerima permintaan Brussels menamatkan pajakan itu menampakkan kesediaan baru kerajaan Arab Saudi mengetengahkan Islam yang lebih sederhana, satu daripada janji-janji Putera Mohammed bin Salman dalam rancangan mentransformasikan Arab Saudi dan mengurangkan pergantungan pada minyak.
Penyerahan semula masjid itu bertepatan dengan inisiatif baru Saudi menghentikan sokongan kepada masjid dan sekolah di luar negara yang didakwa menyokong idea radikal. Inisiatif sulit yang tidak dimaklumkan kepada umum ini didedahkan kepada Reuters oleh diplomat Barat.
Menteri Undang-undang, Koen Geens berkata, kompleks itu akan menempatkan pejabat Eksekutif Muslim Belgium, badan rasmi mewakili komuniti Islam negara itu.
Masjid itu akan didaftarkan sebagai tempat ibadat, katanya.
Geens dan pemimpin Belgium lain berpendapat langkah tersebut cara mempromosikan “Islam Eropah” yang selari dengan nilai tempatan, ungkapan yang sering disebut-sebut di serata Eropah berikutan serangan IS baru-baru ini.
“Bermula sekarang, masjid tersebut perlu menjalin hubungan berterusan dengan pihak berkuasa Belgium, selain menghormati undang-undang dan tradisi negara ini, yang membawa wawasan Islam sederhana,” kata Geens.
Beliau berkata, bagi mengetengahkan “kepelbagaian dan ketelusan” dalam kalangan komuniti masjid, ia perlu melatih imam dan mempamerkan pameran budaya mengenai “pencapaian peradaban orang Islam.”
Sumber pihak keselamatan Belgium memberitahu Reuters, Eksekutif Muslim Belgium mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan Maghribi yang mempunyai hubungan risikan yang kuat dengan kerajaan Belgium.