Inkues kematian Vasanthapiriya bermula 30 Mac

Inkues kematian Vasanthapiriya bermula 30 Mac

Mahkamah koroner akan mengadakan inkues ke atas kematian seorang pelajar yang cuba membunuh diri, M Vasanthapiriya.

GEORGE TOWN: Mahkamah koroner akan memulakan inkues ke atas kematian seorang pelajar, M Vasanthapirya, pada 30 Mac ini, yang meninggal dunia selepas cuba membunuh diri selepas dituduh mencuri telefon bimbit gurunya Januari lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A Thaiveegan berkata ketua peguam negara bersetuju dengan cadangan mengadakan inkues itu bulan lepas dan polis baru sahaja dimaklumkan tentang penetapan tarikh inkues hari ini.

“Mahkamah telah menetapkan 30 Mac. Inkues akan melihat semua bukti dan keadaan sekitar kematiannya,” katanya kepada FMT.

Thaiveegan buat masa ini menjangkakan lebih 30 orang akan dipanggil untuk memberi keterangan di inkues itu nanti, yang dijangka bersidang di Mahkamah Majistret di George Town.

Inkues kebiasaannya diadakan jika ada sebab untuk mengesyaki seseorang meninggal dunia secara mengejut atau luar biasa. Seorang koroner, kebiasaannya seorang majistret, akan mengadakan inkues itu.

Inkues adalah misi pencarian fakta dan bukannya perbicaraan di mana seseorang akan disabitkan kesalahan atau perlu membayar pampasan.

Vasanthapiriya, seorang pelajar Tingkatan 2 di SMK Methodist Nibong Tebal, cuba mengambil nyawa sendiri pada 24 Januari selepas dituduh mencuri telefon bimbit gurunya.

Dia ditemui bapanya yang membawanya ke hospital tetapi Vasanthapiriya tidak kembali sedar dan meninggal dunia pada 1 Februari.

Kes Vasanthapiriya mendapat perhatian negaa selepas bapa saudaranya memfailkan laporan polis mendakwa dia dikurung oleh gurunya di sekolah sebelum dibawa pulang 5 jam kemudian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.