
Doan, 29, yang datang ke Malaysia bersama Hanamori dan Ri Ji Hyon yang dikenali sebagai “Mr Y” dengan penerbangan Vietnam Airlines dari Lapangan Terbang Noi Bao, menginap di 2 bilik berasingan iaitu bilik nombor 503 dan 504 di tingkat 5, Hotel Concorde, pada 3 hingga 5 Januari 2017.
Perkara itu dimaklumkan peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Doan, ketika membacakan percakapan beramaran tertuduh pada prosiding hari ke-33 perbicaraan kes Siti Aisyah, 26, warga Indonesia dan Doan yang didakwa bersama-sama 4 lelaki yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan klia2 pada 9 pagi, 13 Februari lalu.
Melalui kenyataan beramaran itu, Doan memberitahu “Mr Y” mengarahkannya melakukan “prank” pertama dengan mengatakan “Hello” dan memberi ciuman mengejut kepada seorang lelaki warga Eropah di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur pada 5 Januari, namun “prank” itu tidak berjaya setelah lelaki itu menegur mungkin Doan tersalah orang.
Doan dalam kenyataan itu berkata “Selepas itu, saya pulang ke Vietnam pada hari yang sama tetapi Hanamori dan Mr Y tidak mengikut saya. Mereka tinggal di Malaysia tetapi saya tidak tahu berapa hari mereka tinggal di negara ini. Saya dibayar US$20 untuk video “prank” yang gagal dan US$250 gaji bulan Januari oleh “Mr Y”.
Kenyataan beramaran itu juga menyatakan kali ke-2 Doan datang ke Malaysia pada 4 Februari 2017 bersama “Mr Y” melalui penerbangan Malaysia Airlines dan menetap di Pearl International Hotel sehingga 6 Februari tahun lepas untuk melakukan “prank”.
Semua perkara itu dipersetujui oleh Pegawai Penyiasat ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.
Saksi ke-9 itu berkata beliau tidak melakukan sebarang siasatan terhadap hotel yang diduduki Doan kerana ia tidak penting kepadanya.
Hisyam: Setuju dengan saya, kalau kamu ada membuat siasatan, ia boleh menyokong apa yang tertuduh cakap?
Wan Azirul Nizam: Tidak pasti kerana tertuduh bohong.
Hisyam: Saya katakan siasatan kamu cacat, berat sebelah dan tidak bebas.
Wan Azirul Nizam : Tidak setuju.
Hisyam: Kamu tahu tak Doan pernah pergi ke Kemboja bersama Mr Y dan Hanamori tetapi tidak membuat apa-apa “prank” di situ?
Wan Azirul Nizam: Setuju berdasarkan percakapan tertuduh.
Saksi itu juga berkata, beliau tidak pergi ke Kemboja untuk melakukan siasatan mengenai perkara itu kerana ia tidak penting untuk beliau.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung 20 Mac.