
Kuala Lumpur kini berada di kedudukan ke-126 tinjauan terbaru Penarafan Lokasi yang diterbitkan pakar mobiliti global itu. Pada suatu ketika, ibu negara Malaysia itu berada di kedudukan ke-25 senarai berkenaan.
Pengarah Serantau Asia ECA International, Lee Quane dalam satu kenyataan berkata: “Dalam 5 tahun ini, kedudukan Kuala Lumpur merosot dari tangga ke-25 hingga terkeluar daripada senarai 100 teratas.
“Salah satu sebab utama ialah ketika kualiti udara di lokasi lain bertambah baik, pencemaran kadar tinggi di Kuala Lumpur, ditambah kadar jenayah kecil yang secara relatif lebih tinggi mengakibatkan kedudukannya jatuh.”
“Bagaimanapun, ibu negara Malaysia itu memperoleh markah tinggi dalam kategori lain seperti utiliti dan perumahan, jadi ia masih positif bagi ekspatriat Asia berpindah ke Kuala Lumpur.”
Singapura masih menjadi bandar raya paling selesa di dunia untuk ekspatriat Asia.
Quane berkata: “Ini disebabkan kombinasi beberapa faktor seperti kadar jenayah rendah, akses mudah kepada sekolah dan penjagaan kesihatan berkualiti, serta tahap rendah pencemaran berbanding banyak lokasi lain di rantau ini.”
Sistem Penarafan Lokasi ECA menilai banyak faktor untuk membentuk taksiran kualiti hidup keseluruhan di lebih 480 lokasi di seluruh dunia.
Sistem itu membantu syarikat dalam menyediakan elaun sesuai untuk pekerja menyesuaikan diri ketika melakukan tugasan antarabangsa.
Faktor yang dinilai merangkumi iklim, kesediaan perkhidmatan kesihatan, perumahan dan utiliti, keterasingan, akses kepada rangkaian sosial dan kemudahan masa lapang, infrastruktur, keselamatan peribadi, ketegangan politik dan kualiti udara.
Brisbane berada di tangga ke-2 senarai itu, sementara Adelaide, Sydney dan Osaka berkongsi tempat ke-3.
Bandar di Australia, Perth (6), Canberra (10), Melbourne (13) dan Darwin (13) berada di kedudukan 15 teratas.
Quane berkata: “Bandar di Australia sentiasa cenderung melakukan lebih baik disebabkan kemudahan dan infrastruktur sangat baik, serta kadar rendah jenayah dan pencemaran udara secara umum.”
Beijing jatuh 10 anak tangga ke kedudukan ke-134, dengan kebanyakan bandar di China berada di kedudukan lebih rendah.
Kemerosotan itu terutamanya disebabkan peningkatan penapisan internet dan pengharaman rangkaian persendirian maya (VPN) sepanjang 12 bulan lalu, serta peningkatan tahap pencemaran di beberapa lokasi negara itu.
Hong Kong berada di kedudukan ke-28 dalam senarai itu.
Di Eropah, Copenhagen mengatasi bandar raya lain di kedudukan ke-10, sementara London berada di tangga ke-67. Kedudukan New York juga tidak memberangsangkan di tangga ke-82.
“Mungkin ramai terperanjat kedudukan London dan New York tidak sebaik bandar raya lain di Eropah dan Amerika Utara, tetapi ia disebabkan kualiti udara dan kadar jenayah lebih tinggi,” kata Quane.
“Bagaimanapun, ini dijangkakan untuk bandar raya dengan saiz seperti itu, dan kedua-dua lokasi berada di kedudukan lebih tinggi dalam senarai penuh.”
Quane berkata, bandar di Jepun kekal di kedudukan baik, dengan semua lokasi di negara itu berada dalam tangga 40 teratas untuk ekspatriat Asia.