Britain usir 23 diplomat Rusia atas serangan kimia

Britain usir 23 diplomat Rusia atas serangan kimia

Perdana Menteri Theresa May berkata Britain mengambil langkah mengukuhkan pertahanan susulan serangan agen saraf di selatan England.

Britain-usir-23-diplomat-Rusia
LONDON: Britain akan mengusir 23 diplomat Rusia sebagai respon kepada serangan toksin saraf ke atas seorang bekas perisik Rusia di selatan England, kata Perdana Menteri Theresa May hari ini.

Pengusiran itu merupakan yang terbesar dalam lebih 30 tahun.

May berkata Britain akan memperkenalkan langkah baharu bagi mengukuhkan pertahanan melawan aktiviti permusuhan negara asing, membekukan aset kerajaan Rusia di mana terdapat bukti ancaman dan menurunkan kehadiran di Piala Dunia di Rusia tahun ini.

Rusia, yang menafikan sebarang penglibatan dalam serangan agen saraf itu berkata Britain boleh menjangkakan tindakan balas terhadap tindakan ini.

Bekas perisik Sergei Skripal, 66, dan anak perempuannya Yulia, 33, ditemui tidak sedarkan diri di satu kerusi di bandar Salisbury pada 4 Mac dan berada di hospital dalam keadaan kritikal. Seorang anggota polis turut terkesan dan dalam keadaan yang serius.

May berkata Skripal dan anaknya diserang dengan Novichok, agen saraf gred tentera dari era Soviet. Beliau meminta Moscow menjelaskan sama ada mereka bertanggungjawab ke atas serangan itu atau hilang kawalan ke atas simpanan bahan berbahaya itu.

“Respon mereka menunjukkan rasa hina dengan keseriusan kejadian-kejadian ini,” kata May dalam kenyataan kepada Parlimen.

“Mereka melayan penggunaan agen saraf gred tentera di Eropah dengan sindiran, penghinaan dan keingkaran.

“Tiada kesimpulan selain Rusia bersalah dalam cubaan membunuh Skripal dan anak perempuanya, dan mengancam keselamatan warga British di Salisbury, termasuk Detektif Sarjan Nick Bailey.

“Ini merupakan penggunaan kekerasan yang menyalahi undang-undang oleh kerajaan Rusia terhadap United Kingdom.”

May berkata pengusiran 23 diplomat itu, yang dikenalpasti sebagai anggota perisik yang tidak diisytiharkan, adalah pengusiran terbesar dalam lebih 30 tahun dan akan melemahkan kebolehan perisikan Rusia di Britain bagi tahun-tahun mendatang.

“Kami akan membekukan aset-aset kerajaan Rusia di mana terdapat bukti ia akan digunakan untuk mengancam nyawa atau harga warga UK dan penduduk,” kata May.

Beliau berkata cadangan legislatif baharu akan segera dibuat bagi melawan sebarang ancaman daripada negara musuh.

“Ini termasuk menggunakan kuasa terarah untuk menahan mereka yang disyaki menjalankan aktiviti permusuhan di sempadan UK,” kata May.

Pihak berkuasa British akan menggunakan kuasa sedia ada bagi meningkatkan usaha memantau dan menjejaki niat mereka yang pergi ke UK yang mungkin terlibat dalam aktiviti yang boleh mengancam keselamatan negara.

“Kami akan meningkatkan pemeriksaan ke atas penerbangan swasta, kastam dan pengangkut,” katanya.

Beliau juga mengancam tindakan terhadpa mereka yang digambarkan sebagai “penjenayah dan elit korup,” dan menambah “tiada tempat bagi orang seperti itu, atau wang mereka, di negara kita.”

May berkata Britain akan membatalkan undangan melawat negaranya kepada Menteri Luar Negeri Rusia Sergei Lavrov dan menggantung semua rancangan perhubungan dua hala peringkat tertinggi antara London dan Moscow.

Mengenai Piala Dunia, beliau berkata tiada menteri dan ahli keluarga diraja British akan menghadiri acara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.