Zahid arah Ku Nan beri surat tawaran rumah awam tertangguh sejak 2012

Zahid arah Ku Nan beri surat tawaran rumah awam tertangguh sejak 2012

Timbalan perdana menteri memberi masa kepada Tengku Adnan Tengku Mansir untuk mengeluarkan surat tawaran kepada pemohon yang layak sebelum akhir April.

zahid-fmt
KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan menteri Wilayah Persekutuan mengeluarkan surat tawaran kepada pemohon layak projek Perumahan Awam (PA) di Bandar Tun Razak yang tertangguh sejak 6 tahun lalu.

Timbalan perdana menteri memberi masa kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk berbuat demikian sebelum akhir April.

“Ke Bandar Tun Razak tak patut datang dengan tangan kosong. Dengan ini saya arahkan menteri Wilayah Persekutuan mengeluarkan surat tawaran kepada semua pemohon (projek PA) yang layak di Bandar Tun Razak,” katanya ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Bahagian Bandar Tun Razak, malam tadi yang turut dihadiri Tengku Adnan.

Zahid merujuk projek pembangunan semula di Bandar Tun Razak yang tertangguh sejak 6 tahun lalu.

PA Sri Melaka, Sri Johor, Sri Pulau Pinang dan Taman Ikan Emas di Parlimen Bandar Tun Razak merupakan kediaman tersenarai dalam program pembangunan semula. Sepanjang tempoh pembinaan, kerja perobohan tidak akan dilakukan pemaju sehingga kediaman baharu siap dibina.

Ia adalah idea Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar ketika itu, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, 6 tahun lalu.

Sementara itu, Zahid menggesa BN Bandar Tun Razak bekerja keras merampas kembali kerusi Parlimen itu daripada pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau menggesa MCA dan Gerakan bekerjasama menarik 50% pengundi Cina di Bandar Tun Razak menyokong BN pada PRU14.

“Sembilan tahun kesengsaraan, kepanasan, kehujanan, kita dalam longkang penderitaan dan ini masanya merampas kembali Bandar Tun Razak.

“MCA, Gerakan tarik balik pengundi Cina sokong BN. Sebab apa kita lakukan orang Cina sama kita lakukan untuk orang Melayu,” katanya.

Zahid turut meluluskan RM600,000 peruntukan untuk pembangunan di Bandar Tun Razak, susulan permohonan daripada Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar.

Pada PRU12, penyandang kerusi Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Khalid Ibrahim yang bertanding di bawah tiket PKR menewaskan calon BN, Datuk Tan Chai Ho dengan majoriti 2,515 undi.

Beliau berjaya mempertahankan kerusi itu pada PRU13 dengan kelebihan 11,832 undi dalam pertandingan 4 penjuru antara BN, PKR dan 2 calon bebas.

Khalid ialah ahli korporat terkenal sebelum menceburi politik pada 2007.

Beliau dipecat PKR pada 9 Ogos 2014 kerana mengingkari keputusan Majlis Pimpinan PKR yang sebulat suara memilih Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor.

Semalam, Khalid yang kini tidak berparti, mengulangi pendiriannya tidak mempertahankan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pada PRU14.

“Parti lama saya (PKR) pun ada jumpa saya, parti PAS pun ada tanya (berkenaan bertanding) tetapi saya buat keputusan untuk tidak bertanding,” katanya yang mahu memberi peluang kepada orang lain dan memfokuskan kerja sosial selepas ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.