
Timbalan perdana menteri berkata, kepolisan komuniti cukup popular di kalangan masyarakat Cina.
“Tetapi di kawasan-kawasan Melayu dan India agak kurang sedikit kepolisan komuniti,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-24 MCPF di Maktab Polis Diraja Malaysia hari ini.
Zahid berkata, kadar jenayah berkurangan secara keseluruhan, khasnya jenayah berat, tetapi persepsi masyarakat belum berubah disebabkan jenayah kecil.
Katanya, kerajaan tahu tidak ada negara yang bebas secara mutlak dari segi jenayah, tetapi beliau yakin kerjasama MCPF dengan polis dapat menunjukkan peningkatan dalam usaha membanteras jenayah.
“Dengan dibantu rakan-rakan di Bukit Aman dan juga ketua polis negeri, Sabah dan Sarawak menunjukkan peningkatan cukup baik dan kita amat harapkan agar kerja keras oleh PDRM dapat didukung oleh kita (MCPF).”
Pengerusi MCPF itu berharap kepolisan komuniti itu dapat dibentuk segera, termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Dengan semangat 1Malaysia, kita harap bukan sahaja di kawasan perumahan di Semananjung, tetapi kita juga memohon agar di semua rumah panjang (Sabah dan Sarawak) ada kepolisan komuniti yang akan dibentuk.
“Kita akan memperkukuhkan pentadbiran MCPF di peringkat negeri agar mereka diberikan peranan lebih penting dalam pewujudan kepolisan komuniti untuk pencegahan jenayah.”
Konsep kepolisan komuniti yang dilancarkan pada 5 April 2007 ialah kaedah lebih berkesan untuk membantu meningkatkan tahap perkhidmatan pasukan polis dan mengurangkan kadar jenayah di lokasi tertentu.