
Sebaliknya, perdana menteri berkata janji kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menyelesaikan segala permasalahan rakyat bukan dengan janji palsu, tetapi terbukti dengan pelbagai pelaksanaan projek untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“Jangan lihat hanya pada janji-janji (pembangkang), tuan-tuan. Sebab janji boleh jadi madu beracun. Kita tengok janji kerajaan Selangor, hari ini apa isu terbesar di Selangor?
“Sekarang ini, 2 juta penduduk di Selangor dalam keadaan sukar, air putus, tekanan rendah dan kualiti air yang buruk.
“Sedangkan kerajaan BN sudah melaksanakan pelbagai kemudahan, termasuk melaksanakan Aliran Transit Massa (MRT), menyediakan perumahan murah dan mampu milik berbanding kerajaan Selangor dan Pulau Pinang yang kebanyakan menyediakan rumah mahal,” katanya berucap merasmikan Himpunan Jentera Pemuda dan Puteri BN di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara, di Pagoh, hari ini.
Masalah air di Selangor yang bermula sejak Selasa lepas menyebabkan 427 kawasan di sekitar Lembah Klang, termasuk Shah Alam, Klang, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air.
Ia dijangka berterusan sehingga esok akibat kerja pembaikan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) di Bestari Jaya, Kuala Selangor oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang sepatutnya selesai semalam (9 Mac).
Menyentuh masalah perumahan pula, Najib berkata, kerajaan BN lebih banyak menyediakan rumah murah dan mampu milik berbanding kerajaan Selangor dan Pulau Pinang, yang mana sebanyak 76% rumah di 2 negeri itu berharga lebih RM1 juta.
“Kita (kerajaan BN) buat rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kosnya RM120,000 tapi kita jual RM35,000. Jasa siapa? Jasa BN. Siapa yang buat rumah mewah, lebih utamakan pembinaan terowong, pembangunan lereng bukit?” kata Najib dengan sinis.
Beliau berkata, kerajaan BN berjaya menunaikan 97.6% janji daripada kandungan manifesto yang dibentangkan pada pilihan raya umum ke-13.
“Kita bukan (tawar) janji kosong. Kita janji dengan bukti, kita telah tepati janji kita. Yang kata 97.6% ini Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) yang cakap. Sebab itu kalau kita ada mandat, insya Allah, negara kita semakin hari semakin maju,” kata beliau.
Najib yang juga menteri kewangan berkata, ini juga terbukti dengan kenyataan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini yang menyatakan Malaysia berada di landasan betul ke arah menuju ekonomi maju.
“Ini bukan cawangan parti bunga yang cakap (PPBM). Mereka tiada mesyuarat bahagian dan cawangan, alih-alih mesyuarat nasional. Jadi, jangan cakap nak tadbir negara kerana parti sendiri pun tidak boleh tadbir, haru-biru, caca marba, nak tegur orang lain, tapi diri sendiri pun tidak betul.”
Najib turut menyifatkan Pakatan Harapan sebagai “pakatan hipokrit” disebabkan kenyataan lepas beberapa pemimpin pembangkang sebelum ini yang pernah menjadi bekas pemimpin kerajaan BN.
“Kenapa hipokrit? Masa dalam Umno, kawan yang mereka komplot hari ini pernah didakwa sebagai parti cauvinis, anti-Melayu, anti-Islam. Ini mereka cakap, kita ada rakaman waktu mereka cakap, mereka kutuk parti yang hari ini, (sekarang) mereka tidur sebantal.”