
Pengasas Yayasan Chow Kit, Dr Hartini Zainudin berkata isu itu harus diutamakan dan perbincangan itu membolehkan pelbagai kumpulan memberikan input dan mencari penyelesaian.
Beliau berkata kanak-kanak mesti dilindungi dan diberi penjagaan yang baik kerana mereka “aset kita yang paling berharga”.
Pengarah Eksekutif Persatuan Kebajikan Suriana Scott Wong bersetuju masalah itu akan tamat begitu sahaja dan penderitaan golongan miskin akan dilupakan jika tidak dibincangkan secara terbuka.
“Saya menyokong debat atau perbincangan supaya bersama kita cari penyelesaian,” katanya.
Beliau berkata perbincangan perlu menjurus kepada menemukan keperluan golongan miskin, penyebab-penyebab kemiskinan bandar, apa yang menyebabkan mereka terus miskin dan bagaimana membantu mereka menghentikan kitaran kemiskinan.
Beliau berakta golongan miskin semakin miskin dan kaya semakin kaya dan ada keperluan untuk membincangkan perkara itu secara terbuka.
Dr Hartini dan Wong mengulas keputusan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul membincangkan kemiskinan dan kekurangan zat dalam kalangan kanak-kanak yang mendiami kawasan perumahan kos rendah di ibu negara.
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago memfailkan usul untuk membincangkan dapatan laporan Unicef itu di sesi Dewan Rakyat sekarang. Pandikar berkata tidak perlu kerana agensi-agensi kerajaan sedang mengkaji laporan itu dan tidak perlu dibahaskan dengan segera.
Kajian Tabung Kanak-Kanak PBB bertajuk “Kanak-kanak pinggiran: Satu kaji selidik mengenai kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di flat kos rendah di Kuala Lumpur” mendapati hampir semua kanak-kanak (99.7%) di rumah pangsa kos rendah di ibu kota hidup dalam kemiskinan relatif sementara 7% hidup dalam kemiskinan mutlak.
Peratusan mereka yang berdepan masalah berkaitan kekurangan zat makanan dikatakan membimbangkan.