Ideas sahkan status badan pemikir bebas

Ideas sahkan status badan pemikir bebas

Pemangku CEO berkata Ideas akan terus menguatkan kedudukan sebagai pertubuhan penyelidikan dasar awam tanpa gentar atau pilih kasih.

ali-salman-fb1
PETALING JAYA: Susulan peletakan jawatan bekas ketua eksekutif Wan Saiful Wan Jan, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) mengeluarkan kenyataan bagi mengesahkan kedudukan sebagai badan pemikir bebas.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Ali Salman berkata misi organisasi kekal sama.

“Kami diasaskan sebagai badan pemikir untuk menambah baik tahap pemahaman dan penerimaan dasar awam berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang, kerajaan terhad, pasaran terbuka dan kebebasan individu.

“Ini berterusan menjadi misi kami. Jadi, Ideas harus terus mendokong dan memperkasa kedudukannya sebagai organisasi penyelidikan dasar awam yang bebas tanpa gentar atau pilih kasih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ali berkata Ideas diilhamkan prinsip perdana menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman dan semangat Merdeka yang diperjuangkannya.

Pada 1 Mac, Wan Saiful yang mengetuai Ideas sejak penubuhannya pada 2009, menyertai PPBM selepas 21 tahun menjadi ahli seumur hidup PAS.

Pada sidang akhbar minggu lepas, Wan Saiful berkata, beliau memilih untuk menyertai PPBM dan tidak lagi bekerja dengan semua parti politik kerana mahu memastikan perubahan berlaku di negara ini serta mengembalikan maruah bangsa.

“Saya fikir berucaplah sekuat mana sekalipun, tulislah sebanyak mana kertas cadangan, tapi sekiranya rejim yang sama terus mentadbir negara, perubahan tuntas yang kita mahukan mustahil akan terlaksana kerana ‘political will’ itu tidak wujud dalam pentadbiran Umno dan Barisan Nasional (BN) hari ini,” katanya ketika itu.

Pada sidang akhbar sama, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan Wan Saiful sebagai timbalan pengarah strategi dan dasar parti itu, yang diketuai Rais Hussin.

Susulan peletakan jawatan Wan Saiful, Ali yang juga pengarah penyelidikan dan pakar ekonomi Ideas, mengumumkan pembentukan lembaga jawatankuasa eksekutif baharu.

“Lembaga itu akan terdiri daripada Pengerusi Ideas Rebecca Sta Maria dan ahli lembaga R Thillainathan dan Wan Mohd Firdaus Wan Mohd Fuaad.”

Ali berkata dalam tempoh transisi ini Ideas akan menumpukan pada 3 aspek utama.

“Tiga aspek itu adalah berkenaan perbincangan dengan penggubal dasar, kemampanan jangka masa panjang dan memupuk kapasiti dengan melabur dalam latihan penyelidik muda dan juga meningkatkan saiz pasukan penyelidik,” katanya.

Ali rasa kesal kerana kekurangan badan pemikir bebas seperti mereka, mengatakan ia satu perjuangan yang patut disokong semua pihak termasuk sektor swasta, penggubal dasar, media dan ahli akademi.

Menurut kenyataan itu, penyelidikan Ideas distrukturkan bawah 3 unit tematik umum dan kluster iaitu menuju ekonomi berdaya saing (Unit Ekonomi dan Perniagaan), mengembalikan kepercayaan pada institusi (Unit Demokrasi dan Tadbir Urus) dan pembangunan inklusif (Unit Dasar Sosial).

PPBM sahkan penyertaan pengasas Ideas

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.