
Chong berkata dalam sistem perundangan, mana-mana undang-undang yang diluluskan dan diwartakan dianggap undang-undang yan sah sehingga dimansuhkan atau sehingga Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan undang-undang itu tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.
“Selain Mahkamah Persekutuan, orang lain tidak boleh, termasuk perdana menteri, mengisytiharkan undang-undang yang diluluskan di Parlimen terbatal dan tak sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak itu mengulas kenyataan Abang Johari sebelum ini mengatakan PDA dan TSA tidak relevan di Sarawak.
Ketua menteri itu berkata PDA dan TSA adalah undang-undang persekutuan dan oleh itu Dewan Undangan Negeri perlu meluluskannya terlebih dahulu untuk dilaksanakan di Sarawak.
Namun begitu, Dewan Undangan Negeri tidak meluluskan PDA dan TSA dan oleh itu tidak boleh dilaksanakan dan tidak boleh menggantikan undang-undang negeri, kata Abang Johari.
“Petik saya dengan betul: mana-mana undang-undang yang berada di luar bidang kuasa (ultra vires) perlembagaan di bawah Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan adalah terbatal,” katanya pada satu sidang media selepas melancarkan satu seminar di Kuching hari ini.
Abang Johari diminta menjelaskan sama ada Sarawak boleh menggalas tanggungjawab mencari gali, meneroka dan membangunkan sumber petroleum apabila PDA dan TSA masih berkuatkuasa.
Dalam ucapannya di pelancaran Petroleum Sarawak Berhad (Petros) baru-baru ini, beliau berkata kerajaan negeri akan mengambil alih kuasa seliaan penuh ke atas aspek huluan dan hiliran industri minyak dan gas di negeri itu menjelang Julai ini.
Beliau berkata semua orang dan syarikat yang terlibat dalam industri minyak dan gas di Sarawak mestilah ketika itu mendapatkan lesen, permit dan kelulusan yang dikehendaki di bawah Ordinan Perlombongan Minyak atau Ordinan Pengedaran Gas.
“Penguatkuasaan undang-undang negeri itu tidak akan menjejas kepentingan atau pelaburan Petronas, perbadanan minyak nasional, dan syarikat-syarikat lain yang terlibat dalam industri gas dan minyak di Sarawak, sama ada huluan atau hiliran, namun aktiviti mereka mestilah selaras dengan undang-undang dan peraturan Sarawak,” katanya.
Chong bagaimanapun berkata kewujudan PDA bermakna pemilikan semua minyak dan gas terletak pada Petronas.
Beliau TSA seterusnya menguatkan kedudukan itu dengan mengehadkan wilayah Sarawak kepada 3 batu nautika dari pantai sahaja.
“Oleh itu, kenyataan Abang Johari mendakwa PDA dan TSA terbatal dan tidak sah menunjukkan kejahilannya tentang sistem perundangan di Malaysia,” katanya.
“Dia boleh mengulangi dakwaan itu 100 kali tetapi jika 2 undang-undang itu tidak dimansuhkan atau dipinda untuk mengecualikan pengenaan ke atas Sarawak atau diisytiharkan tidak berperlembagaan oleh Mahkamah Tinggi, dakwaan Abang Johari sekadar ‘cakap kosong’, ‘syok sendiri’.
“Kami hanya berterus terang dalam hal ini dan bukan seperti dakwaan (Meneri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak) Datuk Abdul Karim (Rahman Hamzah) bahawa DAP dan PKR cuba menghalang usaha Abang Johari menuntut hak negeri ke atas penerokaan minyak dan gas.
“Sebagai seseorang yang memegang ijazah undang-undang dan seorang ahli perundangan, Abdul Karim harus tahu prinsip asas undang-undang ini,” kata Chong.
Beliau berkata hakikatnya ialah hak Sarawak ke atas royalti minyak dan gas cuma 5% sahaja.
Beliau berkata hasil lain yang dijana daripada penerokaan minyak dan gas kekal bersama kerajaan persekutuan dan Petronas.
“Pemilikan dan kawalan muktamad ke atas industri minyak dan gas di Sarawak kekal bersama Petronas dan perdana menteri dan semua stesen minyak Petronas kekal sebagai stesen minyak Petronas dan tidak akan ditukar menjadi stesen minyak Petros,” tambahnya.
Chong menyeru Abdul Karim dan Abang Johari supaya memberi perkara sebenar kepada rakyat Sarawak.