
Ia adalah surat terakhir yang diterima daripada ayahnya, sebelum Andrew menjadi sebahagian mangsa penerbangan MH370 yang menerima musibah pada 8 Mac 2014.
“Dia memberitahu supaya membesar dan menjadi anak yang bertanggungjawab kepada ibu dan adik saya. Dia berkata dia minta maaf kerana tidak selalu berada di sisi kami.
“Dia juga mengingatkan saya sentiasa percayakan Tuhan dalam apa jua keadaan,” katanya kepada FMT.
Mesej itu disematkan dalam hatinya, walaupun beliau menuruh harapan bapanya akan pulang suatu hari nanti.
“Setiap kali saya melalui kesusahan hidup, saya akan membaca surat itu berulang kali,” tambahnya.
Maira berkata dia faham bapanya tidak dapat berada di sisinya sepanjang masa kerana sifat pekerjaannya, yang sering melakukan penerbangan jarak jauh.
Tetapi katanya, bapanya sentiasa membawa pulang makanan ringan atau minyak wangi setiap kali dia kembali dari luar negara.

“Ayah saya sangat tegas namun seorang yang pelindung. Dari masa ke semasa, kami dimanjakan.
“Satu perkara yang kami lakukan bersama apabila dia cuti adalah mencari tempat makan yang menarik. Itulah yang dia gemar lakukan, dia sukakan makanan dan suka memasak.
“Dia akan membuat pencarian di Google dan mencadangkan tempat makan yang menarik.”
Maira, 21, menambah bapanya seorang yang mahir memasak.
“Dia suka mi, jadi ada masa dia akan buatkan kami ‘mee goreng mamak’. Walaupun rasanya tidak sama, ia masih sedap.”
Hari ini merupakan ulangtahun ke-4 kehilangan penerbangan Malaysia Airlines MH370.
Pesawat Boeing 777 itu hilang daripada radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal. Kehilangannya menjadi misteri terbesar dalam sejarah penerbangan.
Andrew menyambut ulang tahun kelahirannya ke-53 pada 21 Februari. Bercakap kepada FMT, Maira terkenang kali terakhir beliau meraikan sambutan hari lahir dengan bapanya pada 2014.
Ia hanya 3 minggu sebelum penerbangan, dan beliau teringat bagaimana beliau membeli kek dan hadiah hari jadi untuk bapanya menggunakan gaji pertamanya.

“Saya baru sahaja mula bekerja ‘part-time’ sambil menunggu keputusan SPM. Pada masa itu, ‘power bank’ telefon pintar merupakan teknologi terbaharu, jadi saya belikan satu untuknya.
“Apabila dia membuka hadiah dan membaca apa yang saya tulis pada kad hari jadi, terdapat reaksi wajah pada mukanya yang belum pernah saya lihat sebelum ini.
“Saya ingat saat itu dengan baik,” kata Maira yang menjadi terkenal di kalangan peminat Liverpool di seluruh dunia apabila kelab Liga Perdana Inggeris itu memberi penghormatan kepada Andrew selepas beliau berkongsi mesej di Twitter tentang minat bapanya terhadap kelab itu.
http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2014/03/24/hotel-dipenuhi-media-untuk-dapatkan-reaksi-keluarga/