
Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata SPRM tidak harus membataskan siasatan kepada siasatan terhad oleh Bukit Aman dan penjelasan Najmuddin sahaja.
Ini susulan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun Jumaat lalu, mengatakan inkuiri dalaman sudah membersihkan Najmuddin daripada sebarang salah laku pada 2016 selepas beliau menunjukkan dokumen sah membuktikan wang dalam akaun bank Australia itu hasil kutipan jualan rumah di Shah Alam pada nilai RM700,00 (A$260,770 berdasarkan kadar tukaran masa itu).
Menurut polis Australia, akaun itu mengandungi A$320,000 dolar (RM971,500).
“Bukit Aman mengesahkan Wan Ahmad tidak melakukan sebarang salah laku berkenaan hal itu selepas siasatan dalaman,” kata Ramkarpal dalam kenyataan.
“Bagaimanapun, SPRM tidak boleh mengambil pendekatan simplistik dalam siasatannya.
“Keadaan diburukkan lagi dengan keengganan Najmuddin menuntut RM971,500 itu menerusi saluran diperakui undang-undang di Australia atas alasan proses itu akan menjadi terlalu mahal walaupun pihak tertentu menawarkan bantuan kepadanya.”
Akhbar Sydney Morning Herald baru-baru ini melaporkan pihak berkuasa Australia membekukan akaun bank milik Najmuddin.
Menurut laporan itu, polis Australia mengesyaki “kemasukan wang tunai mencurigakan” ke akaun “Goal Saver” Bank Commonwealth milik Najmuddin, yang tidak aktif selepas dibuka pada 2011.
SPRM melancarkan siasatan selepas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pemberi maklumat.
Ramkarpal berkata siasatan SPRM itu perkembangan menggalakkan dan menyeru semua pihak memberikan masa dan ruang untuk mereka menjalankan tugas.
Bagaimanapun, beliau mengkritik keengganan SPRM pada awalnya untuk memulakan siasatan kerana belum menerima laporan.
Katanya, beliau sebelum ini pernah berkata laporan tidak diperlukan memandangkan satu siasatan sudah pun dilancarkan oleh polis Australia.
“Laporan Sydney Morning Herald menunjukkan mungkin ada perkara lebih besar dalam kisah ini daripada apa yang didedahkan oleh siasatan dalaman Bukit Aman.
“Dalam keadaan seperti itu, siasatan SPRM harus merangkumi siasatan polis persekutuan Australia dan bukan hanya apa yang disiasat oleh Bukit Aman.
“Ini kerana kemungkinan besar siasatan dalaman itu tidak mengambil kira perkara yang disiasat pihak berkuasa Australia.
“Perkara seperti siapa yang mendeposit wang ke dalam akaun di Australia dan motif melakukan perkara itu harus disiasat dengan teliti.”