Aktiviti godam sebabkan kerugian RM33 juta pada 2017

Aktiviti godam sebabkan kerugian RM33 juta pada 2017

Jumlah itu bagaimanapun menurun sebanyak 52% berbanding tahun sebelumnya berdasarkan rekod polis.

hacker
Gambar AFP
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 92 kes melibatkan kerugian RM33.43 juta dicatat akibat aktiviti penggodaman sepanjang 2017.

Menurut Kementerian Komunikasi dan Multimedia, jumlah itu bagaimanapun menurun sebanyak 52% berbanding tahun sebelumnya berdasarkan rekod polis.

Kementerian itu dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat berkata kerajaan melaksanakan pelbagai program dalam mendidik dan memupuk kesedaran masyarakat mengenai risiko ancaman siber termasuk penggodaman.

“Antaranya Safer Internet Day oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Klik Dengan Bijak oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), CyberSAFE oleh CyberSecurity Malaysia, dan program yang dianjurkan agensi lain,” menurut kementerian itu.

Penjelasan itu bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) yang ingin tahu jumlah kerugian akibat aktiviti penggodaman dan langkah kementerian menanganinya.

Menurut kementerian itu, pemantauan ke atas aktiviti penggodaman dan lain-lain jenis ancaman keselamatan rangkaian siber secara aktif dan bersepadu dilaksanakan pelbagai agensi yang diperkasakan melalui penubuhan NACSA bawah seliaan Majlis Keselamatan Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.