
Imam masjid berkenaan Ungku Ahmad Hazwan Ungku Kamarudin dalam kenyataan berkata seorang jemaah mengalami kecederaan akibat disondol babi hutan yang turut dalam keadaan cedera pada leher semasa jemaah masjid ingin menunaikan solat isyak.
“Ketika kejadian, ramai jemaah berusaha menyelamatkan diri dan ada di antara jemaah yang berusaha menghalau binatang tersebut keluar dari dewan solat.
“Setelah berjaya diumpan keluar dari dewan solat, haiwan tersebut menumbangkan 2 motosikal dan akhirnya berjaya ditembak oleh seorang jemaah masjid yang mempunyai senapang patah,” katanya dan menambah pihaknya menghubungi Balai Polis Sungai Plong bagi mengawal keadaan.
Katanya hampir keseluruhan bahagian di dalam dan beranda masjid terjejas akibat kejadian itu dan pihak masjid menghubungi pihak Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut.
“Pihak JMNS akan hadir esok bagi membuat penilaian berkaitan masalah sertu (menyucikan) dan karpet masjid… Pada ketika ini, urusan solat jemaah diteruskan seperti biasa di ruang solat yang tidak terjejas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt S Somu ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu tetapi tiada laporan yang dibuat oleh pihak yang terlibat.
“Pasukan polis telah ke lokasi kejadian bagi mengawal keadaan ketika kejadian. Terdapat seorang lelaki Rohingya yang cedera namun dia juga tidak tampil membuat laporan polis,” katanya.
Beliau berkata pemeriksaan mendapati individu yang melepaskan tembakan itu mempunyai lesen senjata api.