
“Malaysia tidak mahu ada perang dagang dengan Eropah tetapi jika dipaksakan ke atas kita, kita akan jawab dengan kekuatan dan kebijaksanaan,” kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong di satu persidangan industri di ibu negara.
Pada pertengahan Januari lalu, EU meluluskan draf langkah bagi memulakan reformasi pasaran kuasanya dan mengurangkan penggunaan tenaga untuk mencapai lebih banyak matlamat iklim. Draf itu juga mengandungi larangan penggunaan minyak sawit dalam bahan api motor bermula 2021.
Mah berkata, sebagai pengeluar ke-2 terbesar minyak yang digunakan dalam pembuatan sabun sehinggalah bahan makanan, Malaysia akan menolah sebarang rundingan kerjasama perdagangan jika EU mengambil langkah itu.
Sebahagian besar minyak sawit dieksport kepada EU digunakan sebagai stok suapan untuk menghasilkan biodiesel, menyebabkan pengeluar Malaysia bimbang permintaan keseluruhan akan menurun.
“Tiada rundingan perdagangan sehinggalah kita selesaikan isu minyak sawit ini,” kata Mah dalam ucapannya, menggambarkan rancangan EU itu sebagai “diskriminasi”.
EU adalah pengimport minyak sawit ke-2 terbesar di dunia selepas India, dengan pembelian sebanyak 6.7 juta tan pada 2016 dan 2017, menurut data Jabatan Pertanian Amerika Syarikat.
Mengulas langkah India meningkatkan duti import terhadap minyak sawit baru-baru ini, Mah berkata trend meningkatan duti adalah dasar bersifat perlindungan.
“Kami akan menulis surat kepada rakan sejawat di India meminta mereka mempertimbangkannya,” katanya kepada pemberita pada sidang berita selepas ucapannya.
India menaikkan cukai import minyak sawit mentah dan bertapis ke tahap tertinggi dalam masa lebih sedekad, kata kerajaannya dalam kenyataan Khamis lalu, dalam usaha menyokong petani tempatan.
Sekatan minyak sawit EU rumitkan situasi kerajaan menjelang PRU