
Senarai pegawai bekas rejim itu disenaraikan oleh agensi Iraq yang bertindak menjejaki bekas pegawai dari parti Baath, termasuk saudara-mara mereka.
Nama Saddam berada dalam senarai teratas termasuk “anak, cucu, saudara-maranya”.
Selepas kejatuhan rejim Saddam berikutan pencerobohan Amerika Syarikat (AS) pada 2003, harta milik bekas pemerintah itu dan kroninya dirampas pemimpin baharu Iraq, tentera-tentera dan pelbagai militia.
Perintah baharu ini bertujuan untuk mengesahkan perampasan aset-aset tersebut.
Senarai itu termasuk para menteri era Saddam, ketua pasukan keselamatan dan pegawai parti Baath, termasuk sebahagiannya yang sedang dipenjara, yang sudah dihukum mati atau meninggal dunia.
Antara yang tersenarai ialah Ali Hassan al-Majid, sepupu Saddam yang lebih dikenali sebagai “Ali Kimia” yang dihukum gantung pada 2010 kerana mengarahkan serangan gas beracun terhadap kaum Kurdis pada 1988.
Turut tersenarai, Tareq Aziz, menteri luar veteran yang memegang jawatan timbalan perdana menteri sebelum Saddam digulingkan dalam penjajahan yang dipimpin AS.
Beliau yang dihukum mati pada 2013, merupakan satu-satunya orang kanan Saddam beragama Kristian. Beliau meninggal dunia di penjara 2 tahun kemudian.
Anaknya, Ziad, yang tinggal di Jordan, mengutuk senarai itu sebagai cubaan untuk “meraih undi” pada pilihan raya umum Iraq 12 Mei ini.
“Cukuplah kami ditekan dan dilayan secara tidak adil selama 15 tahun,” katanya kepada AFP menjelang pengumuman rasmi pada Ahad. “Bilakah perasaan sakit hati kerajaan akan berakhir?”
Ziad menafikan keluarganya memiliki apa-apa harta, mengatakan rumah bapanya di Baghdad dirampas ahli politik Syiah terkenal, Ammar al-Hakim.