Fuzi: Pengarah JSJ tak buat salah, boleh teruskan tugas

Fuzi: Pengarah JSJ tak buat salah, boleh teruskan tugas

Ketua polis negara, SPRM mempunyai hak untuk menyiasat kes pembekuan akaun Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Fuzi-Pengarah-JSJ-tak-buat-salah-boleh-teruskan-tugas
KUALA LUMPUR: Ketua polis negara berkata, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dibenarkan meneruskan tugasnya seperti biasa, walaupun berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas pembekuan akaun hampir RM1 juta oleh pihak berkuasa Australia.

Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, polis tiada hak menarik balik jawatan Najmuddin kerana siasatan dalaman sudah membersihkannya daripada sebarang salah laku, 2 tahun lalu.

“Hak mereka (SPRM) untuk siasat. Saya tidak ada komen.

“Ini bukan hal JSJ. Masalahnya ialah dengan transaksi yang beliau tidak tahu.

“Beliau mengamanahkan pihak ke-3 untuk membuat transaksi itu,” katanya pada satu majlis di ibu pejabat polis Bukit Aman, hari ini.

Najmuddin tidak menghadiri program itu.

Fuzi berkata, beliau ada hubungi pihak berkuasa Australia berhubung kes pembekuan akaun Najmuddin itu, tetapi belum menerima maklum balas.

Katanya, sudah tentu Najmuddin mahu mendapatkan kembali wangnya, tetapi beliau tidak berbuat demikian disebabkan kos mahkamah yang mahal di Australia.

“Kalau tanya dia (Najmuddin) dia mesti nak. Itu hak dia. Dia kalau boleh nak balik duit dia.

“Cuma dia berfikir nak dapatkan kembali wang itu, jumlah duit dan urusan ini melibatkan luar negara. Jadi perbelanjaannya lebih besar daripada itu.”

Jumaat lalu, Fuzi dilaporkan berkata, siasatan dalaman membersihkan Najmuddin daripada sebarang salah laku pada 2016 berdasarkan dokumen sah yang membuktikan dana dalam akaun bank di Australia itu adalah hasil jualan rumah di Shah Alam bernilai RM700,000 (kadar tukaran mata wang ketika itu berjumlah A$260,770).

Beliau berkata, Najmuddin membuktikan deposit yang dibuat ke dalam akaun itu dari sumber dan tujuan sah.

Sydney Morning Herald (SMH) pada Jumaat lalu melaporkan polis Australia membekukan A$320,000 (RM970,000) dalam akaun “Goal Saver” Bank Commonwealth milik Najmuddin kerana mengesyaki “kemasukan wang tunai mencurigakan” dalam akaun itu yang tidak aktif selepas dibuka pada 2011.

Menurut laporan itu, kemasukan wang kurang daripada A$10,000 bermula seminggu selepas Najmuddin melawat Australia pada 2016.

SMH melaporkan baki akaun Najmuddin bertambah hampir A$290,000 kepada A$320,000 (RM972,000) dalam tempoh sebulan, menyebabkan pihak berkuasa mengesyaki wang itu adalah hasil kegiatan jenayah atau pengubahan wang haram.

Hari ini, The Sun memetik Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki sebagai berkata, pihaknya memulakan siasatan selepas menerima laporan daripada seorang pemberi maklumat semalam.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti pemberi maklumat itu berdasarkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Dalam perkembangan lain, Fuzi berkata, pihaknya masih menunggu keputusan kerajaan untuk menentukan pengganti Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang bakal bersara daripada jawatan timbalan ketua polis negara dalam tempoh 2 minggu lagi.

“Kita tunggu keputusan daripada kerajaan dalam masa terdekat.

“Tidak ada ‘hint’, sikit pun tak ada,” katanya.

Jumaat lalu, media melaporkan Rashid yakin beliau memberikan perkhidmatan terbaik hampir 34 tahun bersama pasukan beruniform itu sebelum bersara wajib 2 minggu lagi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada akan menyambung perkhidmatannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.