Bantuan banjir: P Pinang rujuk ketidakpatuhan ke SPRM

Bantuan banjir: P Pinang rujuk ketidakpatuhan ke SPRM

Perkembangan menyusuli siasatan dalaman yang dijalankan pada awal Februari.

TNB-substation-in-smoke-1
GEORGE TOWN:
Kerajaan Pulau Pinang hari ini mengesahkan kebimbangan seorang Adun BN mengenai orang tidak layak yang menerima bantuan sekali beri RM700 untuk bencana banjir November lepas.

Mereka berkata perkara itu sudah dirujuk ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

Dalam kenyataan hari ini, Pejabat Ketua Setiausaha Pulau Pinang berkata kerajaan negeri menyedari terhadap beberapa kes “ketidakpatuhan” dan satu siasatan dalaman dilancarkan awal bulan lepas.

“Siasatan tersebut dilakukan termasuk bagi mengenalpasti punca kejadian ketidakpatuhan kelulusan berkenaan, mereka yang terlibat, jumlah yang di salah bayar dan lain-lain.

“Perkara ketidakpatuhan tersebut juga telah dirujuk dan dibincang dengan SPRM pada 15 Februari 2018 dan tindakan susulan akan diambil oleh SPRM.

“Pentadbiran negeri akan mengeluarkan laporan kejadian tersebut setelah ianya selesai disiasat dan butir-butir ketidakpatuhan pembayaran berkenaan dikenalpasti,” kata kenyataan itu.

Awal hari ini, wakil rakyat Pulau Betog Muhammad Farid Saad berkata ada penduduk kawasannya mengadu orang yang bukan mangsa banjir menerima bantuan RM700 itu.

Beliau juga mendakwa ada beberapa orang yang menduduki satu rumah yang sama di Balik Pulau menerima bantuan itu. Pembayaran itu dimaksudkan untuk setiap isi rumah.

Bantuan RM700 itu sebahagian daripada program “Penang Bangkit, di mana RM200 daripada jumlah itu daripada sumbangan orang ramai untuk mangsa banjir. Sejumlah RM19.2 juta berjaya dikutip.

Bantuan itu dilihat sebagai bantuan bencana terbesar dalam sejarah mana-mana negeri atau oleh kerajaan persekutuan. Bayaran biasa untuk mangsa banjir daripada kerajaan persekutuan ialah RM500.

Kerajaan negeri turut memberikan 10% diskaun ke atas cukai taksiran dan bil air juga dikurangkan sebanyak 25% selama 2 bulan selepas banjir besar.

Penyelaras Penang Bangkit Yap Soo Huey berkata semua pembayaran untuk kawasan DUN itu sedang diaudit.

“Satu siasatan terperinci sedang berjalan dan semua pembayaran untuk kawasan DUN itu ditangguhkan sementara menunggu semua permohonan disemak semula,” kata Adun Pulau Tikus itu.

Sebahagian besar Pulau Pinang ditenggelami air banjir selepas hujan turun tanpa henti selama berjam-jam pada November tahun lalu dan meragut 7 nyawa.

Lebih 7,000 orang terpaksa dipindahkan dari rumah masing-masing.

Pihak berkuasa berkata banjir itu akibat jumlah air hujan 1 setengah bulan menimpa tanpa henti selama 15 jam.

Permohonan bantuan diterima untuk kerosakan hartanah (perumahan dan komersil), rumah ibadat dan kenderaaan akibat banjir.

Kerosakan pada bangunan dan kenderaan akibat ribut dan pokok tumbang juga boleh memohon bantuan itu.

Mereka yang mahu memohon perlu membawa dokumen sokongan kepada pusat khidmat Adun atau pejabat daerah tempat mereka mengalami kerugian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.