Ahli Parlimen ramal Dewan Rakyat dibubar minggu pertama April

Ahli Parlimen ramal Dewan Rakyat dibubar minggu pertama April

Liew Chin Tong berkata, Dewan Rakyat mungkin dibubarkan sebaik sahaja cadangan persempadanan semula dibentangkan.

liew
Liew Chin Tong berkata, alasannya kerana kerajaan mahu membentangkan cadangan persempadanan semula kepada Dewan Rakyat. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Beberapa ahli Parlimen meramalkan Dewan Rakyat mungkin dibubarkan sejurus sebelum 5 April ini, hari terakhir sidang Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong meramalkan Dewan Rakyat boleh dibubarkan lebih awal kerana ini adalah mesyuarat pertama penggal ke-6 Parlimen ke-13.

“Alasan untuk ini ialah mereka mahu membentangkan persempadanan semula kepada Dewan Rakyat.

“Tiga minggu pertama akan membahaskan isu dibangkitkan Agong. Disebabkan itu, saya menjangkakan sidang kali ini akan diteruskan sehingga 29 Mac,” katanya kepada FMT di lobi Parlimen.

Dewan Rakyat dijangka mula membahaskan ucapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V mulai esok sehingga 22 Mac ini.

Liew berkata, kerajaan kemudiannya akan membentangkan cadangan persempadanan semula dan Rang Undang-undang Berita Palsu pada minggu ke-4 sidang Dewan Rakyat (26 hingga 29 Mac).

“Saya meramalkan Dewan Rakyat akan dibubarkan pada minggu pertama April,” kata pengerusi DAP Johor itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan pula menjangkakan Parlimen akan dibubarkan lebih awal.

“Ia mungkin tidak sampai Dewan Negara. Ada yang kata tidak perlu mengadakan sidang kali ini.

“Kerajaan mengadakan sidang terakhir ini untuk membentangkan cadangan persempadanan semula, tetapi ia sekadar aturan urusan mesyuarat dan boleh memintas Dewan negara dan dibawakan kepada Agong,” kata peguam itu.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi juga bersetuju Parlimen mungkin dibubarkan lebih awal sebelum sidang Dewan Rakyat berakhir.

Ahli Parlimen Sri Gading itu berkata, beliau teruja kerana ini adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia, Dewan Rakyat bersidang untuk kali ke-6.

“Saya bangga menjadi ahli Parlimen dan menyaksikan peristiwa bersejarah ini.”

Parti pembangkang tidak menyokong cadangan persempadanan semula itu kerana mendakwa ia memihak kepada Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Kali terakhir proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan pada 2003 di bawah pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang turut didakwa memanipulasi proses itu untuk memihak kepada parti pemerintah.

Dr Mahathir, 92, yang memimpin negara selama 22 tahun, dipilih sebagai calon perdana menteri oleh Pakatan Harapan, jika gabungan 4 parti pembangkang itu memenangi PRU14.

Pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan itu mengetuai desakan untuk Najib meletak jawatan sejak 2015, selepas timbul kontroversi 1MDB.

Najib bagaimanapun menafikan sebarang salah laku dalam isu berkaitan 1MDB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.